BUKIT KAYU HITAM – Lima lelaki warga India dan dua Thailand gagal memasuki negara ini semalam selepas didapati tiada tujuan masuk serta tidak mempunyai tempahan tiket pulang yang sah.
Penolakan masuk terhadap kesemua warga asing berusia dalam lingkungan 20 hingga 40-an itu dilakukan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, tindakan itu diambil selepas mereka dipercayai bukan pelancong tulen dan tidak mempunyai tempahan tiket pulang.
“Mereka juga disyaki tidak mempunyai tujuan masuk yang sah ke Malaysia ketika sesi soal siasat dilaksanakan oleh pegawai imigresen bertugas,” katanya di sini hari ini.
Katanya, penolakan masuk itu dibuat selaras dengan peruntukan Akta Imigresen 1959/63. Kesemua individu terbabit diarahkan berpatah balik ke negara asal melalui laluan masuk sama dan tiada rampasan dilakukan.
Tambahnya, pihaknya sentiasa komited memastikan pintu masuk negara berada dalam keadaan selamat, teratur dan tidak disalahgunakan oleh mana-mana individu untuk tujuan yang menyalahi undang-undang. – KOSMO! ONLINE














