fbpx
AirAsia memberi pilihan kepada kru wanita untuk memakai hijab bermula Ramadan depan.

Contohi AirAsia benar staf berhijab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pada minggu lalu, syarikat penerbangan tambang murah AirAsia memperkenalkan pakaian seragam berhijab berwarna merah untuk kru-kru kabin wanita termasuk pramugari sebagai pilihan semasa mereka bertugas bermula pada Ramadan, awal tahun depan.

Syarikat yang diasaskan pada 2001 itu juga menyatakan hijab tersebut akan dipadankan de­ngan reka bentuk seluar panjang seperti dipakai oleh kru-kru wanita penerbangannya yang bertugas di laluan Jeddah, Arab Saudi dari Malaysia.

Keputusan untuk memberikan pilihan kepada kru-kru kabin wanita memakai hijab itu dianggap sebagai langkah terpuji untuk syarikat tersebut yang turut menggondol tiga kemena­ngan pada World Travel Awards Grand Final 2025 di Bahrain baru-baru ini.

AirAsia yang memperkenalkan slogan ‘Everyone can fly’ di negara ini memperoleh kemenangan bagi kategori syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka dunia, kru kabin syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka dunia dan syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh terkemuka dunia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat Capital A yang memiliki AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, pelaksanaan hijab itu yang dirancang pada suku pertama 2026 semasa bulan Ramadan adalah satu langkah untuk memastikan kru kabin berasa selesa dan yakin mewakili syarikat penerbangan tersebut.

“Kami akan memberikan pilihan kepada kru kabin wa­nita, jika mereka mahu, untuk memakai hijab. Saya rasa kami akan menjadi syarikat penerbangan pertama di ASEAN yang berbuat demikian,” tambahnya selepas pengumuman tentang hijab itu.

Menyentuh rancangan AirAsia itu, Mufti Pahang, Profesor Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim berkata, keputusan syarikat tersebut memperkenakan hijab untuk dipakai oleh kru kabin wanitanya itu sebagai suatu perkembangan yang positif dan terpuji.

“Saya mengikuti perkembangan ini dan merasa gembira dengan perkembangannya. Tiada sebab untuk tidak benarkan memakai hijab dan berpakaian sopan kerana wanita Islam di seluruh dunia kekal aktif walaupun berhijab.

“Saya rasa Tan Sri Tony (Fernandez) menyedari perkara ini dan ia suatu langkah terpuji daripada beliau.

“Benar, ia suatu perkembangan positif dan saya menyeru kepada majikan (di Malaysia) supaya tidak berfikiran sempit. Kita mengharapkan mereka le­bih berfikiran terbuka dan membenarkan pemakaian hijab,” tambahnya kepada Kosmo!.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM, Prof. Madya Dr. Azri Bhari berpendapat, tindakan membenarkan kru kabin wanita memakai hijab juga akan menarik pekerja-pekerja Muslimah untuk menyertai syarikat penerbangan AirAsia.

“Informasi cara untuk menutup aurat itu (memakai hijab) telah diterima dengan baik (oleh majikan),” ujarnya.

Menurut Azri, dalam aspek yang lain, ia merupakan satu penghormatan kepada masyarakat Muslim kerana pemilik syarikat menghormati ketetapan ajaran agama Islam yang mengkehendaki penganutnya menutup aurat.

Beliau berkata, keputusan syarikat AirAsia untuk membenarkan pramugarinya memakai hijab ketika dalam penerbangan kemungkinan disebabkan faktor kuasa ekonomi penduduk beragama Islam di negara ini yang semakin bertambah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN