PETALING JAYA – Trend pencarian jodoh melalui Facebook, Instagram, Threads dan pelbagai aplikasi lain kini bukan lagi sesuatu yang janggal, sebaliknya semakin diterima dalam kalangan masyarakat.
Pegawai Psikologi, Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, faktor kawalan emosi, keselamatan mental dan ketiadaan tekanan sosial menjadikan medium digital lebih selesa untuk mengenali seseorang.
Katanya, media sosial membolehkan seseorang menonjolkan diri tanpa rasa takut ditolak secara bersemuka, sekali gus membantu proses perkenalan berlangsung lebih perlahan dan terkawal.
“Media sosial secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka untuk menilai calon pencarian jodoh dalam masa singkat dan memenuhi keperluan psikologi dalam membuat pilihan memilih pasangan hidup
“Untuk individu pemalu atau introvert juga lebih selesa dengan interaksi dalam talian berbanding pendekatan tradisional yang memerlukan keberanian sosial tinggi kerana lebih mudah,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Menurutnya, gaya hidup moden yang menghargai kecekapan dan kebebasan seiring dengan penggunaan teknologi harian, menyebabkan platform digital menjadi pilihan utama dalam mencari pasangan.
Namun, Siti Fatimah mengingatkan dinamik hubungan dalam talian boleh mencetuskan kesan emosi tidak realistik jika terlalu bergantung kepada dunia maya.
“Kebergantungan kepada platform digital tidak semestinya negatif, tetapi proses perkenalan semula jadi tidak patut digantikan sepenuhnya kerana boleh menjejaskan keaslian emosi dan kematangan hubungan.
“Interaksi awal melalui ‘direct message’ atau panggilan video boleh membantu mengurangkan rasa gugup dan membina keserasian awal, tanpa interaksi bersemuka untuk menilai keserasian sebenar,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, ia masih memerlukan kesedaran diri (self-awareness), batas privasi digital dan keseimbangan antara komunikasi maya serta dunia sebenar.
“Jangan biarkan ‘pilihan terlalu banyak’ menjadikan nilai sebenar hubungan iaitu kejujuran, keserasian dan komitmen sehingga membawa kepada perasaan ragu dan tidak puas hati terhadap pasangan.
“Apabila terlalu banyak pilihan, manusia cenderung menjadi ragu dan tidak puas walaupun sudah membuat keputusan. Mereka juga akan menunda komitmen kerana beranggapan masih ada calon lebih baik di luar sana,” ujarnya.














