fbpx
KIRA-KIRA 25,000 pengunjung hadir memeriahkan KHUP4.

TH himpun agensi berlesen tawar pakej haji, umrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WALAUPUN sudah diuar uarkan peringatan mengenai penipuan (scam) haji di media massa atau media sosial, namun boleh dikatakan setiap tahun ada sahaja bakal-bakal haji dan umrah yang terperdaya dengan tawaran pakej daripada ejen tidak berlesen sehingga membawa kerugian besar. 

Lebih memilukan apabila wang tabungan yang disimpan oleh warga emas selama bertahun-tahun ‘hangus’ begitu sahaja setelah tertipu dengan pakej haji menawarkan harga lebih murah dan pelbagai janji manis. 

Sehubungan itu, bagi mengekang penipuan tersebut daripada terus menular, Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia menganjurkan Karnival Haji, Umrah & Pelancongan Ke-4 (KHUP4) di Movenpick Hotel & Convention Centre, Sepang, Selangor baru-baru ini. 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terperdaya dengan tawaran pakej haji daripada syarikat pelancongan yang tidak berlesen serta meragukan. 

MUSTAKIM (tengah) hadir merasmikan KHUP4 yang berlangsung di Movenpick Hotel & Convention Centre, Sepang, Selangor baru-baru ini

“Justeru, KHUP4 menjadi platform terbaik untuk bakal haji mendapatkan maklumat tepat dan membuat pilihan pakej haji daripada Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen mengikut piawaian TH dan peraturan Arab Saudi.

“Pada karnival ini kami menghimpunkan 34 syarikat PJH yang telah dilesenkan oleh TH untuk menawarkan pakej haji bagi Musim Haji 1447H/2026M. 

“Kami hanya mengiktiraf 34 PJH dan tiada ejen lain dilantik. Mana-mana pihak yang menawarkan perkhidmatan tanpa kelulusan boleh diambil tindakan di bawah Akta Tabung Haji 1995,” katanya.

Tambahnya, kesemua PJH itu telah melalui proses pemilihan yang ketat oleh TH dan akan beroperasi mengikut piawaian serta garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi. Mustakim berkata, TH akan terus memperkukuhkan usahasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk membanteras penipuan pakej haji daripada terus berlaku. 

Selain mendapatkan maklumat lengkap berkaitan pakej-pakej haji, para pengunjung KHUP4 juga berpeluang mendapatkan maklumat berkaitan umrah dan pelancongan Islam di bawah satu bumbung. Karnival yang berlangsung selama tiga hari itu dihadiri kira-kira 25,000 orang pengunjung dari pelbagai lokasi di seluruh negara yang mahu mendapatkan pakej haji atau umrah daripada ejen-ejen berlesen. 

SEBANYAK 34 PJH berlesen yang dilantik dan mengikut piawaian TH serta peraturan Arab Saudi.

Turut disediakan pelbagai program menarik untuk para pengunjung seperti persembahan daripada kumpulan nasyid, aktiviti mewarna kanak-kanak, simulasi haji cilik, sesi bual bicara dan podcast berkaitan haji serta umrah.

Dalam pada itu, salah seorang pengunjung, Nor Nabila Zakaria, 21, berkata, dia sangat teruja melihat karnival umrah dan haji terbesar pernah dikunjunginya dengan menghimpunkan pelbagai agensi berlesen serta dipercayai.

“Saya datang ke sini untuk menemani ibu yang berhasrat untuk menunaikan haji pada tahun hadapan. “Saya lihat banyak pakej haji dan umrah yang menarik dengan harga berpatutan, paling penting dipercayai. “Para petugas juga sangat membantu dengan menerangkan pakej-pakej yang disediakan.

“Secara kesimpulannya, setiap syarikat mempunyai keistimewaan tersendiri, namun pemilihan pakej bergantung kepada bajet masing-masing,” kata pelajar institusi pengajian tinggi awam itu.

Tambah Nor Nabila, usaha pihak TH menganjurkan Karnival Haji, Umrah & Pelancongan sangat penting untuk memastikan bakal-bakal jemaah haji dan umrah terselamat daripada menjadi mangsa scammer. 

“Saya berharap, karnival ini diteruskan lagi pada masa akan datang untuk menyebar luas maklumat berkaitan haji dan umrah daripada pihak dipercayai.

“Semoga masyarakat lebih celik dan peka agar tiada lagi yang menjadi mangsa penipuan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN