fbpx
Seorang wanita menyidai pakaian di tengah-tengah kemusnahan akibat banjir yang di Aceh Tamiang, Wilayah Aceh pada 6 Disember lalu. AFP

Kesengsaraan Aceh bertimpa-timpa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MESKIPUN telah hampir 21 tahun berlalu, tarikh 26 Disember 2004 tidak mungkin dilupakan oleh kita semua bagaimana bencana alam paling dahsyat dalam sejarah moden berlaku.

Bencana yang berpunca daripada gempa bumi dasar laut sangat kuat di Lautan Hindi, berhampiran pantai barat Sumatera, Indonesia dengan magnitud 9.1 hingga 9.3 itu mencetuskan gelombang tsunami besar.

Ombak setinggi 15 hingga 30 meter membadai daratan menyebabkan 230,000 kematian di 14 buah negara dan yang paling banyak ialah penduduk di Aceh dengan korban melebihi 170,000 orang.

Ombak besar itu menyebabkan ribuan kampung hancur, infrastruktur seperti sekolah, hospital, masjid dan kediaman musnah sekali gus menyaksikan jutaan kehilangan tempat tinggal.

Kemusnahan ibarat padang jarak padang tekukur itu menyebabkan kesengsaraan dan penderitaan penduduk di Aceh yang masih lagi kuat berbekas sehingga hari ini.

Namun, ketika rakyat Aceh kembali menjalani kehidupan normal, mereka sekali lagi diduga dengan bencana alam apabila arus deras dari kawasan perbukitan membawa bersama air deras, tanah, lumpur dan pokok-pokok kayu membadai penempatan penduduk.

Banjir yang disebabkan oleh siklon itu memusnahkan tiga wilayah di Pulau Sumatera termasuk Aceh. Bencana itu dilaporkan kini mengorbankan hampir 1,000 orang, dengan 276 mangsa masih lagi hilang.

Hari ini, selepas hampir dua minggu dibadai banjir, derita mangsa banjir di Aceh belum berakhir, ketika penduduk kehilangan rumah, tanaman, ternakan dan pekerjaan akibat lumpur dan serpihan kayu balak, wabak penyakit pula melanda.

Oleh kerana lokasi bencana majoritinya melibatkan kawasan pedalaman, ramai mangsa yang sukar dibantu oleh pihak berkuasa kerana terputus perhubungan jalan raya sehinggakan ada kes kebuluran di sebilangan tempat.

Usaha merawat mangsa cedera dan sakit juga sukar berikutan 31 hospital dan 156 pusat kesihatan kecil turut terjejas ditenggelami banjir.

Keadaan kita pula jauh berbeza, bukan sahaja tidak berdepan bencana alam yang teruk, malah jika berlaku banjir di sana sini pihak berkuasa telah pun membuat segala persiapan rapi.

Segala bentuk bantuan makanan, khemah, selimut dan sebagainya telah siap diatur, malah bantuan wang tunai kepada mangsa yang terjejas teruk dipercepatkan supaya mereka tidak terbeban untuk kembali menjalani kehidupan selepas banjir surut.

Meskipun ada kekurangan dan kelemahan sedikit sebanyak, sewajarnya kita perlu bersyukur betapa nasib dan kehidupan kita sangat terbela.

Namun, dalam keadaan itu kita tidak boleh leka. Monson Timur Laut masih belum berakhir, semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Pada masa yang sama jangan sesekali kita melanggar undang-undang alam sebagaimana pesanan surah Ar-Rum (30:41) bermaksud; “Telah tampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN