SEDAR tak sedar, kita sudah sampai di bulan terakhir pada tahun ini. Rasanya seperti baru minggu lepas kita meraikan kedatangan tahun 2025.
Apabila tiba hujung tahun, salah satu norma di negara ini adalah kebanyakan syarikat akan memberikan bonus akhir tahun kepada pekerja.
Untuk makluman, bonus secara ringkasnya adalah pembayaran tambahan yang diterima oleh pekerja di luar gaji tetap mereka. Biasanya, bonus diberikan sebagai penghargaan untuk prestasi yang baik sepanjang tahun atau sebagai insentif untuk mencapai sasaran tertentu (KPI) ditetapkan oleh syarikat.
Justeru, tidak hairanlah jika ada sesetengah syarikat memberi bonus sehingga enam bulan gaji kepada kakitangan yang menunjukkan prestasi terbaik sepanjang tahun. Berbeza dengan bonus kerajaan yang biasanya bersifat tetap tanpa mengikut KPI. Maka semua kakitangan mendapat bonus mengikut tangga gaji masing-masing.
Misalnya, Kerajaan Negeri Sarawak mengumumkan bonus dua bulan gaji untuk kakitangan awam, manakala Selangor memberi Bantuan Khas Kewangan sebanyak tiga bulan gaji kepada penjawat awam di negeri itu.
Baru-baru ini, ada salah seorang rakan penulis memaklumkan bahawa dia bakal mendapat bonus sehingga lima bulan gaji pada akhir tahun.
Antara faktor kawan rapat penulis itu mendapat durian runtuh adalah disebabkan komitmen dan dedikasinya terhadap tugas diamanahkan oleh syarikat. Tambahan pula, dia berkhidmat di salah sebuah syarikat besar dari luar negara yang setiap tahun meraih keuntungan besar.
Apabila difikirkan balik, gaji kawan penulis RM6,000 sebulan, apabila didarab lima dia boleh menjana sekitar RM30,000. Ia satu nilai yang cukup besar.
Justeru tidak hairanlah, jika kawan penulis sudah berkira-kira untuk membeli motosikal berkuasa tinggi dan menukar kereta. Sebagai seorang rakan, penulis berasa iri hati kerana syarikatnya mampu memberi bonus begitu besar. Hal ini kerana, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, tidak banyak syarikat boleh berbuat demikian.
Malah dalam beberapa sektor, ada syarikat yang hanya mampu mengumumkan insentif wang ehsan seperti RM500 setiap orang. Pada penulis, biarpun nilainya sedikit, sekurang-kurangnya pekerja merasai penat lelah mereka berkhidmat sepanjang tahun ini dihargai oleh majikan.
Malangnya, ada juga syarikat yang memilih untuk tidak memberi sebarang bonus atau wang ihsan kerana mencatatkan kerugian besar.
Sebagai pekerja, kita tidak boleh menekan majikan untuk memberi bonus dalam situasi begitu. Sebaliknya, kita perlu berlapang dada dengan situasi tersebut.
Mungkin tiada rezeki untuk merasai bonus atau wang ehsan pada tahun ini. Pada masa depan, selepas syarikat kembali stabil, kita akan dapat merasai labanya.
Lagi pula, pemberian bonus tidak disebut dalam Akta Kerja 1955 atau pada mana-mana buku undang-undang kerja di Malaysia. Sebaliknya, amalan pemberian bonus ini adalah hasil perjuangan kesatuan sekerja yang menegakkan hak penghargaan kepada pekerja.
















