fbpx
RAMAI golongan lelaki mempunyai sisi kehidupan berbeza-beza, bertentangan dengan fitrah manusia serta agama. - GAMBAR HIASAN

Apabila lelaki hilang fitrahnya…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HASIL serbuan pihak berkuasa ke atas sebuah pusat spa dan kesihatan di ibu negara, baru-baru ini mencetuskan kebimbangan baharu kepada masyarakat.

Situasi tersebut memberi gambaran jelas bahawa wujudnya ramai golongan lelaki yang mempunyai sisi kehidupan berbeza-beza, bertentangan dengan fitrah manusia serta agama. Ia sekali gus menimbulkan keresahan umum terutamanya para wanita, isteri selain ibu bapa.

Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr. Fauziah Mohd. Saad berkata, ia adalah satu bentuk kecurangan moden tanpa sebarang tanda-tanda tradisional.

“Aktiviti songsang lelaki hari ini sukar dikesan kerana ia tidak melibatkan mesej romantik, wanita lain atau panggilan pelik. Semuanya berlaku secara tersembunyi melalui aplikasi sulit dan komuniti tertutup.

“Ini menyebabkan wanita sukar mengesan pengkhianatan,” katanya.

Fauziah menjelaskan, lelaki yang kelihatan ‘lurus’, bertanggungjawab dan amanah di rumah tetapi terlibat dalam aktiviti songsang secara rahsia menunjukkan berlakunya konflik identiti secara serius.

Dari sudut psikologi menurutnya, keadaan ini sering dikaitkan dengan ketidakselarasan identiti yang boleh membawa kepada tekanan mental, kemurungan, dan hubungan rumah tangga yang toksik.

“Bukan orang terdekat sahaja yang terkesan dengan keadaan tersebut, malah ia turut memberi tekanan psikologi kepada suami atau lelaki itu sendiri.

“Lelaki yang hidup dua dunia sebenarnya berada dalam keadaan tekanan berpanjangan kerana takut rahsia terbongkar, rasa bersalah tetapi masih mengulangi tingkah laku dan tingkah laku terpisah demi melindungi imej sosial,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, ia turut meninggalkan kesan psikologi terhadap kehidupan berumah tangga selain meningkatkan trauma apabila perkara sebenar terbongkar.

“Apabila isteri mengetahui perkara sebenar, kesannya sangat besar. Ia boleh menghilang keyakinan diri dan trauma pengkhianatan (betrayal trauma).

“Tekanan emosi berpanjangan juga boleh berlaku selain anak-anak terdedah kepada ketegangan dan kekeliruan,” ujarnya.

Beliau berkata, ancaman tersebut bukan sekadar membabitkan isu moral, tetapi turut menjejaskan kesihatan mental dan keselamatan emosi keluarga.

“Membesarkan anak lelaki dalam dunia moden dengan akses digital tanpa kawalan, pengaruh media sosial dan normalisasi budaya songsang menyebabkan mereka kini lebih mudah terdedah kepada kekeliruan identiti.

“Oleh itu, ibu bapa perlu memberi pendidikan nilai, memantau peranti, dan membina komunikasi terbuka sejak kecil,” jelasnya.

Hasil serbuan seperti di ibu negara itu beliau menjelaskan, menunjukkan dunia lelaki kini jauh lebih kompleks daripada yang disangkakan sebelum ini.

“Fenomena lelaki memilih songsang memberi kesan besar kepada institusi keluarga, kesihatan mental, dan keselamatan emosi wanita serta anak-anak.

“Usaha pencegahan memerlukan kerjasama keluarga, pendidikan nilai, kawalan digital dan dasar undang-undang yang lebih tegas,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN