NOR SHAMIRA menunjukkan Pingat Emas Naib Canselor yang dianugerahkan kepadanya pada Konvokesyen UUM, Sintok, Kedah baru-baru ini.

Sakit mental, kanser tak halang Nor Shamira raih Emas Naib Canselor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MESKIPUN berhadapan dengan masalah kesihatan, ia tidak menghalang Nor Shamira Irwani Farid untuk mencatatkan keputusan yang cemerlang dalam pendidikan.

Ketika menyempurnakan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, gadis itu sebenarnya perlu ‘bertarung’ dengan masalah kesihatan mental dan kanser darah tahap empat.

Tetapi, itu semua tidak mematahkan semangatnya dan kecemerlangan dalam menyempurnakan pengajian telah membolehkan dirinya menerima Anugerah Pingat Emas Naib Canselor daripada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Dia yang merupakan Graduan Sarjana Muda Pengurusan Kerja Sosial dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.94 menerima anugerah tersebut ketika Majlis Konvokesyen UUM baru-baru ini.
Nor Shamira, 24, menitipkan rasa syukur atas anugerah tersebut dan merasakan cabarannya untuk menyempurnakan pengajian akhirnya terbalas.

“Bukan mudah bagi saya yang berhadapan dengan masalah kesihatan untuk menyempurnakan pengajian ini.

“Kesukaran yang saya hadapi akhirnya terbalas apabila mendapat anugerah ini, sudah pasti saya gembira kerana dapat menggembirakan ibu bapa atas kejayaan ini,” katanya yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan.

Nor Shamira juga tidak menyangka bahawa dia berpeluang hadir untuk melangkah ke pentas konvokesyen kerana terpaksa menjalani rawatan kemoterapi setelah didiagnosis dengan masalah kanser darah sewaktu mengikuti latihan praktikal bagi menyempurnakan pengajiannya.

Sebelum majlis konvokesyen, dia telah menjalani kemoterapi yang membuatnya kehilangan berat badan dan rasa lemah untuk berjalan.

Tetapi takdir telah tertulis bahawa usaha kerasnya selama ini tidak sia-sia. Dengan izin Allah dia mendapat kekuatan untuk hadir ke majlis tersebut.

Menceritakan perjalanannya menyempurnakan pengajian, ia bukanlah sesuatu yang mudah seperti pelajaran lain yang tidak mempunyai masalah kesihatan.

Dedah Nor Shamira, sebelum melanjutkan pengajian ke UUM dia sebenarnya telah didiagnosis berhadapan dengan masalah mental.

“Saya didiagnosis dengan masalah mental Bipolar II yang memberi kesan kepada ‘mood’ ataupun emosi.

“Saya alami dua jenis episod iaitu kemurungan serta hypomania dan keadaan ini memberi kesan sehingga saya mempunyai fikiran untuk bunuh diri,” ujarnya.

Setelah didiagnosis dengan masalah itu, dia mendapatkan rawatan daripada psikiatri dan perlu mengambil ubat serta menjalani terapi.

Malah, setelah melanjutkan pengajian di UUM, dia juga perlu sentiasa berjumpa dengan kaunselor dan pakar psikiatri bagi memastikan masalah itu tidak mengganggu proses pembelajarannya.

Ketika di UUM, Nor Shamira pernah juga diserang dengan masalah tersebut secara tiba-tiba apabila dia terlalu stres.

Dirinya terasa kosong dan tidak seronok dengan apa yang dilakukan sehingga rasa penat untuk meneruskan hidup dan seperti mahu mati.

Dia perlu berjumpa dengan psikiatri bagi mendapatkan bantuan.

Nor Shamira mengakui masalah mentalnya dapat ditangani selepas mendapatkan rawatan.

Pun begitu, ujian untuk Nor Shamira tidak terhenti di situ sahaja.

Disebabkan kanser darah tahap 4 yang dihidapinya, Nor Shamira perlu menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kali.

Malah, dia harus menerima ujian lain apabila didiagnosis menghidap kanser darah pada 19 Ogos lalu.

Menurutnya, dia didapati menghidap kanser itu atau nama saintifiknya Limfoma Hodgkin setelah ada benjolan pada bahunya dan semakin membesar.

“Kemudian, pada 17 September lalu, kanser yang saya alami disahkan berada di tahap empat.

“Sebenarnya, saya perasan ada sebiji ketulan kecil di leher kanan sejak 2022, tetapi disebabkan kekangan masa, saya biarkan dan awal tahun ini ketulan itu semakin besar dan banyak.

“Apabila pemeriksaan dilakukan doktor mengesahkan bahawa saya berhadapan dengan kanser darah tahap empat,” terangnya.

Ketika itu, dia sedang menjalani latihan praktikal selama empat bulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Dalam tempoh itu juga, Nor Shamira perlu berulang-alik ke Hospital Kuala Lumpur bagi tujuan pemeriksaan.

“Saya agak terkejut apabila didiagnosis berhadapan dengan masalah ini dan terkadang hati mula menyoal kenapa saya diuji lagi.

“Tetapi saya masih boleh mengawal diri untuk menerima hakikat bahawa perlu berhadapan dengan masalah ini,” katanya.

Tambahnya, dia bersyukur meskipun berhadapan dengan cabaran, Allah memudahkan urusannya bagi menyempurnakan pengajiannya.

Bagi merawat masalah itu, dia perlu menjalani kemoterapi sebanyak enam kali dan telah melalui tiga kali sesi kemoterapi.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengapa memilih bidang pengajian pengurusan kerja sosial, Nor Shamira menjelaskan, pada mulanya dia bercita-cita untuk menjadi seorang doktor.

Tetapi dia disahkan berhadapan masalah mental ketika melanjutkan pengajian di Kolej Matrikulasi dan merasakan dirinya tidak mampu untuk meneruskan pengajian dalam bidang perubatan.

“Jadi saya memilih untuk melanjutkan pengajian yang membolehkan saya faham manusia atau bidang yang sesuai dengan minat saya dan salah satunya adalah pengurusan kerja sosial.

“Atas sebab itu saya memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang ini,” katanya yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik.

Ternyata keputusannya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang itu tepat dan Nor Shamira berjaya meraih keputusan yang cemerlang.

Sejak semester pertama, Nor Shamira sudah menetapkan matlamat jelas untuk mencapai keputusan terbaik.

Walaupun hanya mengetahui kewujudan Anugerah Emas Naib Canselor pada semester kedua tahun pertama, dia terus menanam tekad untuk mencapainya.

Sepanjang lapan semester pengajian dia berjaya mencatatkan Purata Nilai Gred (PNG) 4.0 untuk empat semester.

Ketika ditanya bagaimana kaedah belajar sehingga membolehkannya meraih keputusan yang cemerlang, Nor Shamira berkata, dia sering berinteraksi di dalam kelas.

“Saya banyak berinteraksi dengan pensyarah serta terlibat dalam diskusi dan sentiasa responsif terhadap isu semasa.

“Selain itu, saya cuba untuk memahami apa yang saya baca dan apabila sudah faham saya akan mengingatinya,” jelasnya.

Selain itu, dia juga sering menolong rakan memahami sesuatu topik dan itu bukan saja mengukuhkan ingatannya, malah membantu mengekalkan fokus.

Kaedah pembelajaran yang diamalkannya itu ternyata membantunya untuk meraih keputusan yang cemerlang.

Nor Shamira juga mengakui bahawa kejayaan yang dicapainya itu adalah hasil dorongan pelbagai pihak.

“Keluarga memainkan peranan penting dan mereka sentiasa memberi semangat kepada saya untuk mengejar cita-cita saya.

“Selain itu, pensyarah-pensyarah di UUM juga amat memahami situasi saya dan senantiasa memberi semangat kepada saya.

“Ini termasuk pensyarah yang menjadi mentor saya, Dr. Nur Hafizah Md. Akhir yang menjaga saya dari segi akademik dan lain-lain sepanjang pengajian,” ujarnya.

Ketika ditanya tentang impiannya, Nor Shamira menyatakan dia ingin pulih daripada kanser yang dihadapinya.

Kemudian dia ingin bekerja mencari pengalaman dan membalas budi keluarganya.

“Mungkin saya akan mencari pengalaman kerja terlebih dahulu untuk tempoh lima tahun sebelum menyambungkan pengajian bagi peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

“Jika diizinkan Allah mungkin saya akan menjadi ahli akademik pada masa hadapan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN