SESEORANG bertaubat atas sesuatu maksiat, kemudian nafsunya kembali menguasai dirinya sehingga dia kembali mengulangi melakukan maksiat. Adakah taubatnya itu diterima?
JAWAPAN: IBN Manzur berkata, taubat ialah kembali kepada Allah daripada dosa, kembali kepada Allah sahaja atau kembali mentaati selepas melakukan dosa atau memberi maksud kembali daripada dosa. (Lihat Lisan al-Arab, 2/61)
Menurut Kamus Dewan, taubat ialah sesal akan dosa (perbuatan jahat dan lain-lain) dan berazam tidak akan berbuat dosa (jahat) lagi, perasaan tidak senang (rasa kesal) kerana telah melakukan kesalahan dan berazam tidak akan mengulanginya lagi. Ia juga bermaksud kembali kepada Tuhan (dengan meninggalkan perbuatan dan lain-lain yang dilarang dan membuat apa-apa yang disuruh). (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat)[1]
Bertaubat daripada dosa hukumnya adalah wajib. Allah SWT berfirman:
“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah al-Nur: 31)
Allah SWT juga berfirman:
“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepada-Nya supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu dan di akhirat pula ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu.” (Surah Hud: 3)
Imam al-Nawawi menyebut dalam kitab Riyadh al-Salihin: “Para ulama berkata, bertaubat dari setiap dosa hukumnya adalah wajib. Jika maksiat (dosa) itu antara hamba dengan Allah SWT yang tidak ada sangkut pautnya dengan hak manusia, maka syaratnya ada tiga iaitu pertama menjauhi dan meninggalkan maksiat. Kedua, menyesal kerana telah melakukan maksiat tersebut dan ketiga, berazam serta bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat itu selama-lamanya.
Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubatnya tidak sah.
Namun, sekiranya maksiat itu berkaitan dengan hak manusia yang lain, maka syaratnya ada empat Iaitu ketiga-tiga syarat di atas dan ditambah satu syarat lagi iaitu hendaklah dia meminta dibebaskan daripada hak orang yang dizaliminya. Jika berbentuk harta benda atau sejenisnya maka dia harus mengembalikannya (kepada orang yang diambil hartanya). Jika dalam bentuk tuduhan palsu atau seumpamanya, maka hendaklah dipulihkan namanya atau meminta maaf kepadanya. Jika ia berbentuk ghibah, maka harus minta dihalalkan. (Lihat Riyadh al-Salihin, hlm. 41-42)
Mengulas mengenai taubat berulang kali, dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya seorang hamba melakukan dosa lalu dia berkata: “Ya Tuhan, aku telah berdosa. Ampunilah diri ku.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampuni dan menghukum dosanya? Aku telah mengampuni hamba-Ku.”
Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: “Tuhan ku, aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba-Ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku.”
Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: “Tuhan-ku, aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini.” Lalu Allah SWT menjawab: “Adakah hamba ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku sebanyak tiga kali. Maka biarlah dia lakukan apa yang dia kehendaki.
Kesimpulannya, taubat yang dilakukan dengan berulang-ulang serta istighfar yang dilakukan berulang-ulang adalah diterima selagi tidak terdapat pengulangan dosa setelah bertaubat dan memenuhi syarat taubat yang disebutkan.
Disebabkan itu, para ulama menyebut: Taubat nasuha adalah bertekad untuk meninggalkan dosa yang akan datang dan menyesali dosa-dosa yang telah lalu dan kemudian berazam bersungguh-sungguh untuk tidak mengerjakannya kembali pada masa depan.
Kemudian, jika dosa tersebut berkait dengan hak manusia, hendaklah dia kembalikan (hak) apa yang telah dia ambil. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 14/60-61).














