MELAKA – Berbekalkan minat dan keberanian, seorang wanita berusia 24 tahun memilih untuk menceburi kerjaya sebagai mekanik sekali gus membuktikan bidang automotif bukan hanya untuk golongan lelaki.
Nurliana Asrul Effendi yang merupakan anak sulung daripada tujuh beradik itu kini menjadi antara tulang belakang operasi Hafa-X Aut yang beroperasi di Kampung Sungai Putat, di sini sejak 21 tahun lalu.
Graduan Pengurusan Perniagaan dari Politeknik Mara Bangi itu memberitahu, sebelum ini pernah bekerja sebagai guru tadika di Kajang, Selangor selama setahun.
“Saya tidak mempunyai kemahiran asas membaiki kenderaan. Saya cuma lihat mekanik lain melakukan kerja dan mencuba sendiri sampai jadi. Pada awalnya, saya membaiki pam brek kereta.
“Saya belajar satu per satu daripada membuka, mengganti dan memasang semula alat ganti,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Walaupun baru lapan bulan menceburi bidang itu, Nurliana sudah diberikan kepercayaan untuk membaiki kenderaan berat termasuk bas dan lori.
“Memang mencabar tetapi bila sudah siap rasa puas dan yakin. Tugas mengurus pelanggan juga mencabar. Alhamdulillah setakat ini penerimaan daripada pelanggan sangat positif,” ujarnya.
Nurliana berharap kerjaya tersebut dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita yang berminat dengan bidang automatif, namun masih ragu-ragu.
“Kalau ada minat, cuba sampai boleh. Jangan mengalah, biar orang nak cakap apa pun, yang penting usaha dan yakin dengan kemampuan sendiri,” katanya.















