fbpx
Sindiket dikesan menggunakan kapal induk untuk mengangkut warga asing sebelum memindahkan ke dalam bot kecil berbanding bot bersaiz sederhana sebelum ini. Foto AGENSI

‘Dulu guna kapal sederhana, sekarang lebih canggih’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LANGKAWI – Sindiket penyeludupan manusia terutama etnik Rohingya didapati berubah de­ngan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadi lebih licik dan tersusun.

Pakar Kriminologi, Dr. Zalmizy Hussin berkata, berdasarkan pemerhatian dan laporan terkini, modus operandi sindiket juga dilihat mampu menyesuaikan strategi atau cara operasi mereka dengan tindakan penguatkuasaan di negara ini.

“Pada peringkat awal, sindiket menggunakan kapal nelayan bersaiz sederhana untuk membawa pelarian terus ke darat, tetapi sekarang lebih canggih.

“Mereka menggunakan kapal induk untuk mengangkut warga asing sebelum memindahkan mig­ran ke dalam bot kecil atau fiber apabila menghampiri perairan Malaysia,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Jelasnya, strategi itu dilihat lebih berkesan kerana bot kecil sukar dikesan radar dan boleh mendarat di kawasan terpencil seperti teluk, pulau tidak berpenghuni atau pantai berbatu yang sukar diawasi secara tetap.

Selain itu, sindiket lebih aktif menggunakan rangkaian komunikasi digital seperti aplikasi pesanan segera, media sosial dan platform pembayaran dalam talian untuk mengatur perjalanan, mengutip bayaran dan memberi arahan kepada pelarian di setiap peringkat.

“Ada pelarian yang diberi koordinat pendaratan melalui WhatsApp atau disambut oleh wakil di darat yang siap menunggu, menjadikan operasi mereka berjaringan dan sukar dikesan secara konvensional,” ujarnya.

Zalmizy

Katanya, evolusi lain yang ke­tara adalah penggunaan muslihat penyamaran, misalnya me­nyamar sebagai nelayan, pelancong atau bot logistik bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Dalam beberapa kes sebelum ini, sindiket sanggup mengorbankan satu bot sebagai ‘um­pan’ untuk menarik perhatian penguat kuasa, sementara bot utama membawa pelarian berjaya lolos di lokasi lain,” ujarnya.

Jelasnya, taktik sindiket yang berubah-ubah itu menuntut pendekatan lebih pintar daripada pihak berkuasa termasuk kerjasama serantau, risikan bersepadu dan penggunaan teknologi seperti dron dan pemantauan satelit bagi mematahkan aktiviti yang terus mengancam nyawa pelarian dan keselamatan negara.

Sementara itu, katanya, perairan Langkawi sering menjadi pilihan utama sindiket penyeludupan manusia kerana kedudukannya yang sangat hampir dengan sempadan perairan Thailand dan berada di laluan laut utama dari Myanmar dan Bangladesh.

“Kawasan itu juga dikelilingi banyak pulau kecil dan pantai terpencil yang sukar dipantau sepenuhnya, sekali gus memudahkan sindiket mendaratkan migran tanpa dikesan pihak berkuasa terutama pada waktu malam atau semasa cuaca buruk,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN