PETALING JAYA – Aktiviti mendulang emas di Kelantan kini mencetuskan fenomena luar biasa apabila orang ramai mula menyerbu kawasan sungai sehingga stok dulang habis terjual dalam masa singkat.
Tinjauan di platform e-dagang mendapati kebanyakan dulang emas sudah licin terjual, menyebabkan peniaga kini terpaksa membuka pra-pesanan yang memerlukan tempoh antara empat hingga tujuh hari untuk disiapkan.
Difahamkan, dulang emas jenis kayu merbau tersebut dijual pada harga serendah RM300 hingga RM450 bergantung kepada saiz diameternya.
Lonjakan permintaan itu dipercayai berlaku secara mendadak sejak aktiviti mendulang kembali tular di media sosial, terutama selepas beberapa individu berkongsi kejayaan menemui serpihan emas dalam jumlah yang dianggap lumayan.
Kebanyakan video tular tersebut memaparkan semua penduduk Kelantan, tanpa mengira usia, turun ke sungai untuk mendulang emas.
Antara video yang paling tular memaparkan sekumpulan remaja tidak ketinggalan mencuba aktiviti mendulang, yang kini dianggap sebagai pilihan masa lapang lebih berfaedah berbanding kegiatan lain.
Di samping itu, ramai juga berseloroh mengaku diri merupakan ‘ore kelate’ apabila kerajaan Kelantan mula memberi kebenaran kepada rakyat di negeri ini melombong emas menggunakan kaedah mendulang.
Bagaimanapun kerajaan negeri ketika ini sedang menyiapkan draf mengenai syarat-syarat aktiviti mendulang emas untuk menekankan kepada aspek keselamatan dan alam sekitar.
Mendulang emas merupakan kaedah tradisional masyarakat Melayu sejak lebih seratus tahun lalu, khususnya di negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Pahang.
Teknik ini menggunakan dulang kayu atau logam untuk memisahkan pasir sungai daripada ketulan emas secara manual.
Aktiviti itu dahulunya menjadi sumber pendapatan penting bagi penduduk setempat sebelum perlombongan moden mengambil alih, namun tradisi mendulang kekal diwarisi sehingga kini sebagai simbol warisan dan identiti budaya masyarakat tempatan.- KOSMO! ONLINE















