fbpx
Ketabahan dan sikap positif Allahyarham Cikgu E menerima takdir Allah menjadi sebutan orang ramai sehingga kini.

Cikgu E ‘hidupkan’ hati ramai manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KISAH hidup seorang insan yang dikenali sebagai Cikgu E atau nama lengkapnya Nassry Mardee Ismail yang meninggal pada 11 November lalu menjadi inspirasi ramai manusia.

Ramai yang tertanya siapakah figura berhati cekal itu dan apakah amalannya yang membuatkan kematiannya dicemburui ramai, bahkan solat jenazahnya seperti solat Jumaat.

Di akhir hayatnya, arwah berkongsikan keadaan dirinya yang berjuang melawan tiga jenis kanser membabitkan buah pinggang, kelenjar dan paru-paru sejak Mac 2024.

Meskipun mempunyai 30 peratus baki saluran pernafasan yang masih berfungsi, arwah tidak berputus asa berjuang melawan kesakitan itu demi isteri dan lima anaknya.

Riak wajahnya tetap ceria dan positif menunjukkan keredaan seorang hamba.

“Terima takdir ini sebabnya kalau kita menolak kesakitan ini kita hanya dapat sakit sahaja tetapi kalau kita terima dengan reda, kita akan dapat pahala asbab kesakitan ini.

“Dengan menerima semua ini kita akan dapat ketenangan yang akhirnya ketenangan itu dan pahala itu akan membawa kita ke syurga Allah,” demikian kata-kata hikmah Allahyarham Cikgu E dalam sebuah video yang tular baru-baru ini.

Di ruangan komen turut dipenuhi luahan rasa sebak netizen yang tersentuh dengan sikap positif dan tabah arwah.

“Aku sedih bukan sebab kanser dia tapi aku sedih dengar dia bercakap dengan tenang dan reda dengan ketentuan llahi,” kata Shah.

“Kematian yang menghidupkan. Semoga kisah-kisah Cikgu E menjadi iktibar kita semua. Berbuat baik tanpa lelah dengan siapa pun,” tulis seorang pengguna laman sosial.

Selain kisah ketabahan dan sikap positif Allahyarham Cikgu E menerima takdir Allah SWT, amalan yang dilakukan arwah juga menjadi sebutan apabila ramai yang datang mengiringi jenazahnya ke kubur dan melakukan solat jenazah.

PU Syed yang turut hadir ke solat jenazah jenazah Allahyarham Cikgu E berkongsi beberapa keping gambar di media sosial yang memaparkan suasana di dalam masjid.

“Apa rahsia antara dirimu dengan Allah, wahai Nassry Mardee Ismail,” tulisnya.

Mendedahkan kebaikan yang dilakukan secara ‘sembunyi’ oleh Allahyarham Cikgu E ketika hidup, Muhammad James Wegan yang juga seorang ustaz sebuah madrasah memberitahu amalan istimewa arwah adalah sedekah.

Beliau berkata, arwah selalu membantu anak-anak tahfiz di madrasahnya.

“Sejak madrasah kami ditubuhkan sembilan tahun lalu, arwah yang selalu membantu kami, sampaikan pernah dia buka satu kedai runcit dia minta pelajar madrasah kami datang untuk ambil apa sahaja barang.

“Dia juga yang melatih pelajar madrasah kami untuk kenal media dan dia melatih macam mana untuk jadi jurugambar tanpa mengenakan sebarang bayaran.

“Di saat beliau sakit pun dia masih ‘offer’ dekat saya nak ajar saya macam mana nak guna Facebook untuk buat duit bagi madrasah,” luahnya.

Di samping itu, ustaz tersebut turut memberitahu bahawa arwah juga banyak membantu rakan-rakan dan madrasah-madrasah lain.

Demikian kisah ketabahan, kecekalan, kebaikan dan keredaan yang tinggi seorang insan bernama Cikgu E kepada takdir Allah.

Setelah kematian, namanya harum mewangi bahkan figura itu yang bukan siapa-siapa kini menjadi inspirasi dan dikenali ramai orang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN