NAMA Maihazan Nurafendy, pelari denai Malaysia, disebut-sebut sejak kebelakangan ini apabila berjaya menamatkan larian berprestij ultratrail TOR450 di kawasan pergunungan Itali.
TOR450 merupakan salah satu larian jarak jauh yang terkenal dalam kalangan pelari denai tempatan dan juga antarabangsa. Penyertaan Maihazan menandakan komitmennya dalam mengharungi cabaran ekstrem sukan larian denai, lebih-lebih lagi apabila Maihazan menjadi satu-satunya wakil dari Malaysia yang terpilih ke acara sukan ekstrem yang berlangsung pada September lalu itu di Courmayeur, Valle d’Aosta, Itali.
Dia juga sekali lagi bakal menjadi wakil tunggal dari Malaysia bagi acara TORX300 2026 iaitu satu lagi cabaran larian sukar di dunia yang akan dianjurkan tahun depan.
Berkongsi dengan CitaRasa tentang larian TOR450 sejauh 450km yang telah disertainya, Maihazan berkata, sejak memulakan larian trail pada sekitar 2019, dia sudah lama mengimpikan untuk menyertai acara seperti TOR450 kerana mahu merasa suasana berlari di kawasan pergunungan Eropah.
“Suasananya cukup berbeza berbanding kawasan pergunungan atau trek larian di Asia,” katanya membuka bicara.

Menurut pengamal sukan larian itu, TOR450 bukan sekadar ukuran kelajuan, tetapi juga daya ketahanan, strategi dan persediaan rapi. Bagi pelari seperti Maihazan, menamatkan larian adalah pencapaian besar yang mencerminkan disiplin dan semangat sukan.
Terang Maihazan, terdapat lima kategori yang dipertandingkan bagi acara TOR450 itu iaitu 30km, 100km, 130km, 330km dan 450km.
“Kategori 330km adalah kategori signatur. Apa yang membezakan kategori 330km dan 450km adalah marking atau tanda.
“Bagi 330km, ia adalah marking full route, manakala 450km tiada sebarang marking dan peserta perlu bergantung sepenuhnya kepada sistem kedudukan global (GPS), menjadikan ia lebih mencabar, tambahan lagi kerana treknya jarang digunakan.
“Bagi cut off time pula, masa bagi 330km adalah 150 jam, manakala 450km adalah 190 jam,” kongsinya.
Ujar Maihazan, bagi larian 450km, ia membabitkan seramai 200 pelari sahaja dan agak janggal jika anda tidak bersendirian saat menghabiskan larian.
“Berbeza dengan 330km, ia membabitkan 1,200 orang pelari dan janggal jika anda berlari bersendirian,” katanya.

Maihazan membuat pelbagai persiapan bagi menyertai acara larian sebegitu dengan melakukan larian turun naik bukit dan menguji masa lariannya.
“Saya juga melakukan latihan larian pada waktu malam, kira-kira tiga kali seminggu.
“Selebihnya, saya biasakan tubuh dengan cuaca sejuk dan mendapatkan jaket serta koleksi pakaian yang sesuai sepanjang di sana,” katanya sambil menambah persiapan sama dibuat menjelang acara TORX300 tahun depan.
Berkongsi peranti yang perlu dimiliki oleh seorang trail runner sepertinya, Maihazan berkata, jam tangan kecergasan dengan fungsi GPS cukup penting, bagi memberi panduan arah.
“GPS ini bukan hanya buat mereka yang menyertai trail run, bahkan ia juga penting buat mereka yang menyertai road run bagi mengelakkan kita tersesat dan memastikan kita sentiasa mengikut laluan yang betul,” katanya.














