BUKAN sahaja dikenali kerana lakonannya yang mantap dan karisma di layar kaca, tetapi pelakon muda berbakat, Nadhir Nasar turut menjadi perhatian ramai peminat fesyen tempatan.
Dengan penampilan yang sentiasa kemas, segar dan bergaya, Nadhir telah membuktikan bahawa dia bukan sekadar pelakon versatil, malah ikon fesyen lelaki moden yang tahu menyesuaikan gaya dengan personaliti serta situasi.
Setiap kali tampil pada acara hiburan, majlis anugerah atau sekadar gaya santai di media sosial, fesyen Nadhir sering mencuri tumpuan dan menjadi inspirasi kepada golongan muda yang menggemari gaya ringkas tetapi berkelas.
Menurut Nadhir, fesyen baginya adalah sesuatu yang bersifat dinamik dan mencerminkan perubahan diri seseorang.
“Fesyen boleh dikatakan seperti makanan, ada fasa ia berubah, jika dulu saya suka maximalism, sekarang minimalism.
“Pendekatan fesyen saya berkembang seiring dengan kematangan dan pengalaman hidup, malah setiap peringkat usia membawa gaya tersendiri,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa di IOI City Mall, Putrajaya, baru-baru ini.
Tambahnya, dia kini lebih memilih untuk berpakaian mengikut kesesuaian umur serta acara dan di umur 29 tahun dia memilih untuk berpakaian lebih matang dalam konteks kasual serta mengikut tema acara.
Apa yang membezakan gaya fesyen Nadhir ialah kemampuannya memadukan elemen klasik dan moden dalam satu penampilan.
Pemain peranan Ujang dalam filem Magik Rompak itu sering memilih potongan pakaian yang minimalis, namun mempunyai struktur yang jelas dan kemas.
Misalnya, sut yang digayakan oleh Nadhir jarang berlebihan dari segi corak atau warna, sebaliknya dia lebih cenderung memilih warna natural seperti hitam, kelabu, biru gelap dan beige.
Walau begitu, penampilannya tetap menarik kerana bijak bermain dengan tekstur fabrik dan aksesori kecil seperti jam tangan, cincin atau rantai nipis yang menambah dimensi pada keseluruhan gaya.
Dalam acara rasmi, Nadhir sering tampil dengan gaya formal yang elegan tetapi tetap muda dan segar.

Sut yang dipakai sentiasa disesuaikan dengan potongan tubuhnya, menjadikan penampilannya ‘tajam’ dan rapi.
Kadang-kadang, Nadhir menyuntik sedikit elemen avant-garde seperti padanan jaket oversize, potongan asimetri atau kemeja berlapis bagi mencipta gaya yang lebih berani dan moden.
Penampilannya menunjukkan bahawa fesyen lelaki bukan sekadar kemeja dan seluar panjang, tetapi boleh dieksplorasi dengan lebih kreatif tanpa kehilangan sentuhan maskulin.
Menyentuh evolusi gayanya, Nadhir mengakui bahawa dahulu beliau lebih selesa dengan gaya kasual dan jalanan.
“Sebelum ini lebih kepada kasual dan streetwear, sekarang smart kasual dan perubahan ini selari dengan kematangan saya sebagai individu serta pelakon yang kini sering menghadiri acara rasmi dan majlis berprestij.
“Saya percaya bahawa berpakaian bukan semata-mata untuk menarik perhatian, tetapi cara untuk menunjukkan rasa hormat kepada diri dan situasi,” ujarnya.
Bagi gaya harian pula, Nadhir sering dilihat memilih fesyen kasual yang santai tetapi bergaya.
Jean slim fit, kemeja linen, jaket denim atau kemeja T polos menjadi pilihan utamanya.
Walaupun ringkas, Nadhir bijak memilih warna dan potongan yang sesuai dengan bentuk badan dan suasana.
Dalam soal warna, Nadhir tidak menetapkan had tertentu dan dia mengakui gemar warna terang serta terbuka bereksperimen kepada warna.
Meskipun kini lebih cenderung kepada gaya minimalis, Nadhir juga gemar menonjolkan sisi kreatif melalui pemilihan tona yang sesuai.
Selain penampilan di khalayak, gaya Nadhir di media sosial juga mencerminkan sisi peribadinya yang tenang dan artistik.
Foto-foto yang dikongsi di Instagram sering berlatarkan suasana minimalis dengan pencahayaan lembut, menyerlahkan cita rasa estetikanya.
Dari gaya rambut, pilihan kasut hingga aksesori kecil seperti cermin mata atau beg silang, semuanya dirancang rapi, memperlihatkan disiplin dan kepekaan Nadhir terhadap imej diri.
















