fbpx
Adzmiral (kanan) memberi penerangan dan panduan kepada klien semasa aktiviti berkumpulan di Puspen Kota Bharu, Pengkalan Chepa baru-baru ini. – KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Ketagih magic mushroom berisiko sakit mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Penggunaan dadah jenis cecair yang dikenali sebagai magic mushroom pada peranti rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja mencetuskan kebimbangan apabila golongan tersebut terdedah dengan risiko menghidap penyakit mental.

Magic mushroom yang tergolong dalam kategori dadah jenis ganja sintetik memberi kesan kepada gangguan sistem otak remaja sekali gus menyebabkan individu tersebut bertindak di luar tahap normal sama ada menjadi lebih agresif atau lebih fokus sehingga gemar untuk ­menyendiri.

Lebih membimbangkan, remaja yang terjebak dengan penggunaan magic mushroom itu perlu bergantung kepada ubat psikoaktif selama tempoh yang yang ditetapkan selain menjalani rawatan psikiatri di hospital untuk memulihkan mental mereka.

Pengarah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Kota Bharu, Adzmiral Nawi berkata, seramai 34 klien terdiri daripada 111 remaja dan belia yang menjalani pemulihan di pusat itu terdiri daripada golongan yang mengalami ketagihan magic mushroom dan dadah sintetik lain.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 14 remaja dan belia berusia dalam lingkungan 13 hingga 25 tahun di Puspen perlu mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Raja Perempuan Zai­nab II (HRPZ II) di sini.

“Seramai 13 daripada 14 klien yang ketagihan dadah ganja ­sintetik itu perlu bergantung kepada ubat psikoaktif untuk menenangkan mental dan perasaan mereka sepanjang menjalani rawatan di Puspen.

“Klien-klien yang ketagih ma­gic mushroom di sini dilihat mengalami gejala menjurus ke arah psikosis iaitu gangguan mental, halusinasi, delusi dan agresif. Perlakuan itu merupakan antara tanda-tanda yang menjurus ke arah sakit mental,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di Puspen Kota Bharu, Pengkalan Chepa di sini baru-baru ini.

Adzmiral memberitahu, kebiasaannya, klien yang mengalami ketagihan magic mushroom akan dipantau di Puspen dalam masa 14 hari kerana perubahan tingkah laku remaja dapat dilihat selepas tempoh tersebut.

Menurutnya, selain rawatan dan ubat-ubatan psikoaktif, ada klien yang mengalami ketagihan yang kronik ganja sintetik itu dikenakan renjatan elektrik semasa menjalani pemulihan.

“Renjatan elektrik merupakan kaedah yang terpaksa dilakukan kerana ada dalam kalangan klien remaja sudah tidak sedar dan seolah-olah hilang ingatan lebih-lebih bagi klien yang mengalami ketagihan magic mushroom dicampur dengan pil epam.

“Selain menjadi agresif dan gemar menyendiri, klien yang keta­gih ganja sintetik itu juga tidak dapat mengawal pergerakan badan mereka apabila boleh tiba-tiba menjadi kaku. Lebih teruk, ada klien yang membuang air besar atau berak merata-rata pada peringkat awal rawatan,” ujarnya.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman di Puspen, remaja yang terjebak dengan dengan ketagihan magic mushroom meru­pakan klien yang sukar untuk dikawal berbanding individu terlibat dadah jenis pil kuda, syabu atau heroin.

Menurutnya, mental klien ketagih magic mushroom kebiasaannya akan mengambil masa selama tiga hingga enam bulan untuk pulih sepenuhnya semasa menjalani pemulihan di Puspen.

“Ubat psikoaktif yang dibekal oleh HPRZ II mampu membantu klien untuk tidur malam, kurang agresif, tidak membuat gangguan kepada individu lain dan mengelakkan mereka daripada terus berhalusinasi,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN