JAKARTA – Takhta Keraton Surakarta kini menjadi rebutan selepas kemangkatan monarki Keraton Solo, Raja Paku Buwono XIII Hangabehi pada Ahad lalu, lapor saluran berita CNN Indonesia semalam.
Ketua Menteri Keraton Surakarta, Kanjeng Gusti Panembahan Agung (KGPA) Tedjowulan, mendakwa beliau kini menjalankan fungsi sebagai pemangku Raja Keraton Surakarta sehingga pengganti rasmi Paku Buwono XIII ditabalkan.
Tedjowulan merupakan adik tiri kepada mendiang Paku Buwono XIII.
“Buat sementara waktu, Maha Menteri (Ketua Menteri) akan menjalankan fungsi sementara hingga pengganti Raja Paku Buwono XIII ditabalkan,” kata Tedjowulan dalam satu kenyataan yang diterima CNN Indonesia.
Beliau turut menyatakan bahawa ada pihak yang mencadangkan beberapa nama untuk menggantikan takhta kerajaan tersebut.
Namun, katanya, belum ada keputusan rasmi mengenai siapa yang akan menggantikan Raja Paku Buwono XIII.
“Walaupun sudah ada yang menyebut beberapa nama, kami belum menetapkan siapa yang akan menjadi Raja Keraton Surakarta yang seterusnya,” ujar Tedjowulan.
Tedjowulan turut memaklumkan bahawa beliau akan mengumpulkan ahli keluarga bagi menyatukan pandangan mengenai masa depan keraton.
Rabu lalu, Putera Mahkota Keraton Surakarta, Kanjeng Gusti Pangeran Adipati Anom (KGPAA) Hamangkunagoro Sudibyo Rajaputra Narendra Mataram mengisytiharkan dirinya menaiki takhta sebagai Raja Keraton Surakarta.
Putera bongsu kepada Raja Paku Buwono XIII itu menamakan dirinya sebagai Raja Paku Buwono XIV. – AGENSI














