LIVERPOOL – Pertembungan epik antara Liverpool dan Manchester City pada aksi suku akhir Piala FA di Stadium Etihad malam ini dijangka menyajikan perlawanan menarik buat para penonton.
City yang turun sebagai tuan rumah dianggap memiliki kelebihan kerana bakal menerima sokongan penyokong sendiri, namun harus diingat bahawa lawan mereka merupakan juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pengurus The Reds, Arne Slot menyuarakan rasa teruja dengan aksi menentang City kerana percaya penyokong-penyokong skuad Merseyside itu bakal memenuhi Stadium Etihad dan memberikan sokongan padu kepada barisan pemainnya.
Biarpun bakal berdepan jadual padat selepas ini, namun beliau yakin pemain-pemain Liverpool mampu mempamerkan aksi berkualiti, sama seperti ketika mereka bangkit membelasah Galatasaray 4-0 dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
“Saya sangat teruja kerana ini merupakan salah satu sebab kami bekerja keras sepanjang musim. Tidak kira dalam mana-mana pertandingan, sama ada Liga Juara-Juara atau Piala FA, perlawanan sentiasa sukar.
“Saya tidak sabar untuk aksi menentang City kerana penyokong-penyokong kami sentiasa datang dan memberikan sokongan. Saya juga harap kami boleh tampilkan aksi sama seperti ketika bertemu Galatasaray,” katanya.
Selain peluang untuk melangkah lebih jauh dalam saingan Piala FA, perlawanan itu juga mampu menjadi aksi pemanas badan menjelang suku akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain (PSG) Khamis nanti.
“City merupakan juara Piala Liga Inggeris (EFL) musim ini, jadi itu telah membuktikan kualiti yang mereka ada. Saya harap pemain-pemain Liverpool sudah bersedia untuk aksi penting ini,” ujar Slot. – AGENSI














