fbpx
Sivanesan (kiri) berkongsi kegembiraan dengan isteri, Fazilak setelah memperoleh skrol ijazah pada Istiadat Konvokesyen UniSZA, Kuala Nerus semalam.

Tertangguh di London, selesai di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERUS – Seorang lela­ki membuktikan usia bukan peng­halang untuk mengejar cita-cita mendapatkan segulung Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang yang diimpikannya sejak tiga dekad lalu.

S. Sivanesan, 50, berasal dari Kuching, Sarawak berjaya mena­matkan pengajian di Universiti Sul­tan Zainal Abidin (UniSZA) da­lam bidang tersebut selepas me­mulakan perjalanan akademik­nya pada September 2021.

Menurut beliau, cita-cita untuk memiliki ijazah dalam bidang berkenaan sudah lama tersemat dalam dirinya, namun tertangguh selama 30 tahun ekoran ber­depan pelbagai kekangan termasuk kewangan dan kerjaya.

“Dulu sekitar tahun 1995, saya pernah mengikuti pengajian di University of London External Programme, tetapi tidak sempat menamatkannya.

“Kini, setelah 30 tahun saya bertekad untuk menebus impian itu dan membuktikan usia bukan satu halangan bagi merealisasikan impian,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvoke­syen UniSZA, di sini semalam.

Beliau ditemani isterinya, Fazilak Anak William Timri, 48.

Sivanesan mengakui keputusan untuk kembali belajar pada usia sebegini bukan sesuatu yang mudah kerana perlu menyesuaikan diri dengan suasana pem­belajaran yang jauh berbeza berbanding zaman sebelum ini.

Bekas wartawan sebuah portal di Sarawak itu berkata, beliau banyak belajar daripada rakan-rakan yang lebih muda yang sentiasa membantu dan memberi do­rongan sepanjang tempoh pe­ngajian.

“Pelajar sekarang jarang bertanya soalan kerana takut dianggap menunjuk-nunjuk.

“Begitupun, mereka sangat menghormati satu sama lain dan mempunyai adab yang tinggi. Itu yang saya kagumi,” katanya.

Sivanesan mengakui jurang umur antara dirinya dan rakan sekelas antara cabaran terbesar, namun dia merendahkan ego untuk mendekati generasi mu­­da.

Dalam pada itu, beliau yang kini bersedia memulakan ‘chambering’ pada minggu depan ber­kata, kejayaan menggenggam ija­zah pertama itu menjadi permulaan baharu dalam hidupnya untuk meneruskan kerjaya sebagai peguam bertauliah.

“Saya mahu buktikan bahawa usia bukan penghalang untuk mencapai impian dan memberi sumbangan kepada masyarakat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN