fbpx
FIFA menolak rayuan dikemukakan oleh FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya susulan isu pemalsuan dokumen.

Usah sandiwara, terima hukuman FIFA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya mempunyai satu ‘talian hayat’ untuk menyelamatkan maruahnya ketika Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bertegas menolak rayuan dikemukakan badan induk itu terkait hukuman pemalsuan dokumen.

Bagi FAM, mereka mengakui masih terlalu awal untuk mengibarkan bendera putih dan sedia ‘melawan’ FIFA dengan membawa kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dalam tempoh 21 hari.

Namun bagi pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr. Pekan Ramli, beliau menggesa FAM agar tidak meneruskan ‘sandiwara’, sebaliknya menerima segala hukuman yang dijatuhkan FIFA.

Menurut beliau, sekiranya pandangan umum diambil kira, pasti sebahagian besar menolak kes tersebut untuk dibawa ke peringkat yang lebih tinggi supaya reputasi bola sepak negara tidak terus tercalar.

“Secara peribadi, hukuman telah dikekalkan dan terbukti kita (FAM) telah buat salah besar dengan melanggar etika dan peraturan FIFA. Jadi, tidak perlu kita nak berlakon-lakon atau bersandiwara seolah kita tidak buat salah.

“Selepas hukuman pertama dijatuhkan dan sekarang keputusan rayuan dikeluarkan, boleh anggap kita dah kena 0-2 dengan FIFA.

“Tidak salah kalau kita gunakan talian hayat untuk cuba bawa kes ke CAS, namun saya risau kita akan kena 0-3 pula jika keputusan terus tidak memihak kepada FAM.

“CAS pastinya menilai secara menyeluruh dan kalau dibawa juga kes ke CAS, peluang untuk menang agak tipis selain risikonya juga besar dan kos yang tinggi,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Kelmarin, FIFA sah menolak rayuan dikemukakan oleh FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya susulan isu pemalsuan dokumen dengan semua hukuman serta denda yang dikeluarkan pada September lepas dikekalkan.

FIFA memaklumkan rayuan FAM serta tujuh pemain iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel ditolak sepenuhnya selepas meneliti penghujahan dan prosiding pendengaran yang dijalankan.

FIFA turut menjelaskan, FAM dan semua pemain warisan Harimau Malaya telah dimaklumkan secara rasmi mengenai keputusan itu dan mempunyai tempoh 10 hari untuk memohon penghakiman bertulis penuh.

Sebaik sahaja dokumen penuh diterima, mereka mempunyai tambahan tempoh 21 hari untuk mengheret kes rayuan kepada peringkat CAS.

Sementara itu, Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, pihaknya sedia mengheret kes berkenaan ke CAS.

Bagaimanapun katanya, FAM tidak akan membuat keputusan membawa kes ke CAS secara terburu-buru, tetapi akan dibuat hasil keputusan sepakat bersama barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) selain peguam undang-undang yang dilantik.

“Kami tahu proses ini mungkin panjang dan melibatkan modal yang besar, tapi demi maruah bola sepak negara, FAM sanggup harungi apa saja cabaran di hadapan.

“Pada masa sama, kami juga tidak akan mudah menyerah kalah walaupun keputusan ra­yuan sebelum ini tidak memihak kepada kami.

“Harapan kami agar seluruh penyokong bola sepak tanah air terus mendoakan dan memberi sokongan,” katanya.

Jon Irazabal (kanan), Joao Figueiredo (dua dari kanan) dan Imanol Machuca (dua dari kiri) merupakan antara tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang dikenakan hukuman oleh FIFA.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff berharap tempoh masa 21 hari yang diberikan FIFA dapat digunakan sepenuhnya bagi memastikan setiap aspek disemak secara terperinci oleh barisan peguam yang berpengalaman.

“FAM akan bersedia dengan segala dokumen dan butiran tertentu untuk dibawa kepada CAS dalam usaha memastikan terlepas daripada hukuman yang dikenakan FIFA.

“Peguam dilantik akan mene­liti apa yang perlu dan FAM tidak akan berdiam diri untuk kes ini. Kita akan gunakan setiap ruang yang ada untuk mencari keadilan,” katanya.

Tribunal rayuan FIFA bersidang di ibu pejabat perundangan badan induk itu di Miami, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis sebelum mengeluarkan keputusan berkenaan rayuan FAM kelmarin.

Pada September lepas, arena bola sepak negara digemparkan dengan hukuman FIFA yang menggantung tujuh pemain warisan Malaysia selepas didapati melakukan pemalsuan dokumen selain memberi denda kepada FAM sebanyak 350,000 franc Swiss (RM1.8 juta).

Tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang digantung FIFA ialah Imanol Machuca, Facundo Garces, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal.

Potensi hukuman yang bakal dikenakan terhadap skuad Harimau Malaya pula akan ditentukan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Kosmo! sebelum ini melapor­kan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berharap segala proses perundangan serta rayuan melibatkan kes FAM termasuk prosiding CAS dapat diselesaikan sepenuhnya sebelum 31 Mac 2026.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN