JERANTUT – Setiap kali musim tengkujuh, penduduk yang tinggal di pesisir Sungai Tembeling dan Sungai Sepia di sini terpaksa mengeluarkan belanja antara RM6,000 hingga RM10,000 bagi memasang tong plastik di kediaman dan premis masing-masing.
Sebilangan rumah, kedai makan dan kedai runcit yang dibina berdekatan sungai tersebut akan dinaiki air setiap kali hujan lebat akibat air sungai melimpah.
Seorang penduduk Kampung Pagi, Ulu Tembeling di sini, Razali Malik, 56, berkata, dia mengeluarkan belanja sebanyak RM5,000 untuk membeli sebanyak 53 tong bagi mengapungkan rumahnya yang terletak kira-kira 600 meter di pesisir Sungai Tembeling.
Razali yang bekerja sebagai nelayan sungai memberitahu, dia terpaksa mengeluarkan wang simpanan setiap kali menjelang Monsun Timur Laut untuk membeli tong baharu di bandar Jerantut dengan harga RM80 setiap satu.
“Setiap kali nak masuk musim tengkujuh, inilah rutin kami, memeriksa tong-tong lama dan mengantikannya dengan yang baru.
“Selalunya tong ini akan bocor kerana dihentam kayu ketika banjir sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Pagi, kira-kira 130 kilometer dekat sini.
Kata Razali, penduduk tidak mempunyai pilihan selain menggunakan tong plastik untuk mengapungkan rumah dan premis masing-masing bagi mengelakkan kediaman dihanyutkan banjir.
Dalam pada itu, seorang penduduk Kampung Pengau di sini, Abd Razak Yatim, 66, berkata, dia telah memasang 15 buah tong sebagai pelampung dengan setiap satu berharga RM55.
“Saya sudah beringat lebih awal ketika membina kedai ini, saya menggunakan tong pelampung yang dipasang di bawah premis. Tong ini mampu bertahan selama setahun. Kos menggantikan bahagian binaan kedai yang rosak sebelum ini serta menyediakan tong mencecah hampir RM6,000, ia antara usaha keselamatan ketika berdepan bencana banjir,” ujarnya.














