INDUSTRI muzik global kini menyaksikan satu fenomena baharu apabila artis ciptaan kecerdasan buatan (AI) semakin menonjol dan mendapat tempat di hati pendengar.
Perkembangan itu menunjukkan muzik yang dihasilkan bukan sekadar algoritma dan watak maya dalam eksperimen teknologi tetapi sudah menjadi pesaing kepada artis manusia di platform penstriman serta jualan digital.
Memetik laporan Forbes, dalam tempoh sebulan lalu Billboard melaporkan sekurang-kurangnya satu artis AI muncul dalam carta pada setiap minggu.
“Ini mencerminkan peningkatan pesat penerimaan pasaran terhadap kandungan muzik yang dihasilkan oleh AI.
“Antara kemunculan terkini termasuk Breaking Rust iaitu sebuah projek AI dalam genre country yang berjaya memasuki carta jualan lagu country melalui dua single bertajuk Livin On Borrowed Time dan Walk My Walk,” jelas portal tersebut.
Tidak hanya itu, terdapat juga Juno Skye iaitu artis AI berkonsepkan muzik keagamaan Kristian telah tersenarai dalam carta Emerging Artists pada akhir Oktober lalu.
Begitu juga dengan Enlly Blue iaitu entiti AI yang berjaya menduduki carta jualan lagu rock menerusi lagu Through My Soul dan perkara itu disahkan oleh Billboard selepas membuat penelitian alat khusus.
Hasil pemeriksaan lagu tersebut di platform Deezer, Billboard mengesahkan bahawa vokal serta produksi lagu berkenaan sememangnya dihasilkan secara AI.
“Figura AI paling menonjol dalam dunia muzik ketika ini ialah Xania Monet yang sudah mengumpul lebih 44 juta penstriman di Amerika Syarikat.
“Walaupun vokalnya dijanakan oleh platform AI Suno, lagu-lagu Xania Monet sebenarnya dicipta oleh seorang penulis lagu dari Mississippi bernama Telisha Nikki Jones.
“Karya ini bukan sahaja menembusi pelbagai carta Billboard sejak beberapa bulan lalu, bahkan mencipta sejarah sebagai artis AI pertama berjaya memasuki carta radio airplay Billboard,” katanya.
Kejayaan besar itu sekali gus menarik minat industri rakaman, sehingga Jones menandatangani kontrak jutaan dolar dengan label Hallwood Media.
Berdasarkan penelitian, strategi pemasaran memainkan peranan besar dalam membentuk populariti artis AI dengan menggunakan pengaruh pengguna media sosial.

Bahkan Monet turut memuat naik video seolah-olah seorang penyanyi yang benar-benar membuat rakaman lagu di studio di platform digital, secara tidak langsung membentuk keyakinan dalam kalangan peminat.
“Mampu menjana pendapatan lumayan, Billborad menganggarkan karya yang dinyanyikan oleh Monet sekitar AS$52,000 (RM218,000) hasil daripada 17 juta penstriman di Amerika Syarikat.
“Jumlah tersebut diterima tanpa polisi khusus yang membezakan pembayaran royalti lagu AI berbanding lagu artis penyanyi sebenar dan dilihat ‘ancaman’ kepada penyanyi sebenar,” katanya.
Situasi itu membuatkan penyanyi terkenal Kehlani menyelar kontrak rakaman Monet dan menegaskan AI menghasilkan muzik berasaskan bahan sedia ada tanpa memberi kredit kepada pencipta sebenar.
“Tiada apa dan tiada siapa di dunia ini yang mampu membenarkan AI kepada saya. Saya tidak menghormati ciptaan berasaskan AI.
“Kemampuan AI hanya berdasar apa yang telah ada (bahan dengan hak cipta) yang diguna untuk melatih penjana AI tanpa perlu memberi kredit kepada sesiapa,” katanya dalam satu hantaran di TikTok.
Reaksi sama turut diberikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Nettwerk Music Group, Terry McBride yang menolak untuk menandatangi kontrak bersama artis AI.
“Itu bukan entiti yang boleh membuat persembahan siri jelajah seperti yang kita fahami.
“Walaupun ia memperoleh ratusan juta penstriman, kami tidak berminat dengan perkara itu,” ujarnya.
Fenomena artis AI telah membuka persoalan mendalam mengenai masa depan industri hiburan sama ada akan lebih didominasi oleh mesin berbanding manusia.
Bagaimanapun, artis AI ternyata mampu membuktikan mereka berjaya mendapat tempat dalam dunia muzik, meski berdepan dengan kritikan dan penolak daripada segelintir pihak.














