fbpx

Zaman sudah berubah, wajarkah rotan dikembalikan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Isu rotan di sekolah kini kembali menjadi topik hangat dalam kalangan ibu bapa serta para pendidik. Setiap kali muncul kes-kes disiplin berat melibatkan pelajar pasti ada suara yang berkata, “Patutnya rotan dibenarkan semula.”

Bagi sesetengah orang, rotan dianggap ubat mujarab untuk memulihkan disiplin yang semakin longgar. Kesalahan pelajar pada masa kini pula bukan setakat melawan guru, menghisap rokok atau ponteng sekolah, malah lebih serius termasuk mengambil dadah, merogol dan terkini ada yang terlibat dengan kes bunuh.

Ironinya, semua kes tersebut berlaku di kawasan sekolah. Namun, ramai juga yang menolak hukuman rotan dikembalikan. Mereka melihat rotan sudah tidak sesuai dengan zaman. Bagi mereka, dunia pendidikan sudah berubah. Pelajar hari ini lebih sensitif, terdedah kepada tekanan mental dan memerlukan pendekatan lebih lembut serta memahami.

Maka timbullah persoalan, wajarkah hukuman rotan dikembalikan pada zaman teknologi yang pesat dengan kesedaran hak asasi pada masa ini? Secara asasnya, hukuman rotan bukanlah bertujuan untuk menyakitkan atau memalukan, namun ia hanya untuk mendidik dan perlu dilakukan dengan penuh hikmah dan kasih sayang tanpa mencederakan.

Tujuannya untuk menyedarkan. Rotan dalam Islam melambangkan ketegasan yang beradab, bukan kekasaran yang membuta tuli. Ini bermakna mendidik mesti disertai dengan akal dan hati, bukan sekadar emosi.

Namun, cabaran mendidik anak zaman sekarang jauh lebih rumit. Remaja hari ini bukan sekadar nakal, tetapi juga berdepan tekanan emosi, ketagihan gajet, pengaruh media sosial dan masalah keluarga. Kadang-kadang, kesalahan mereka adalah jeritan halus seolah-olah meminta untuk difahami.

Kalau kita hanya bergantung pada rotan, pelajar yang terlibat mungkin tidak menceritakan masalah sebenar yang mereka hadapi dan dia mungkin diam sekejap, tapi jauh di dalam hati, mereka menyimpan dendam atau hilang keyakinan diri. Jadi hukuman rotan itu akan meninggalkan kesan ‘luka di hati’ dan bukan lagi menjadi didikan.

Jadi, mungkin bukan rotan fizikal yang perlu dikembalikan, tetapi ‘rotan nilai’ iaitu rotan yang melambangkan tanggungjawab, disiplin dan kasih sayang. Guru tetap perlu tegas, tetapi biarlah tegas yang mendidik, bukan menakutkan. Paling penting ialah peranan ibu bapa kerana pendidikan bermula di rumah.

Kalau adab dan hormat tidak dibentuk sejak kecil, sukar untuk sekolah memperbaikinya. Membentuk disiplin adalah tanggungjawab bersama. Zaman berubah dan cara mendidik pun juga berubah.

Pelajar hari ini perlukan bimbingan yang seimbang antara ketegasan dan empati. Mendidik dengan hati yang memahami jauh lebih berkesan daripada menghukum dengan tangan yang menyakitkan.

Yang lebih penting, kembalikan roh pendidikan iaitu dengan membentuk pelajar yang berdisiplin kerana mereka faham tanggungjawab, bukan kerana takut kepada hukuman supaya akhirnya lahirlah pelajar yang hormat kepada peraturan dan cintakan ilmu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN