PASARAN skuter di Malaysia pada ketika ini terus berkembang dan banyak syarikat pengeluar melancarkan model-model terkini skuter di pasaran.
MDua Motor Sdn. Bhd. juga tidak ketinggalan untuk berbuat demikian dan sebelum ini syarikat itu telah melancarkan dua unit model skuter di bawah jenama MODA.
Kini mereka terus memeriahkan pasaran skuter dengan memperkenalkan MODA Moca.
Ia merupakan sebuah skuter kompak 110cc, direka untuk penunggang yang mahukan sebuah kenderaan yang mudah digunakan di dalam bandar.
Skuter MODA Moca ini mengembalikan nostalgia kerana tampil dengan rekaan retro yang diinspirasikan dengan sentuhan moden.
Skuter ini dikuasakan dengan enjin 108cc satu silinder, SOHC empat lejang dengan suntikan bahan api (Fi) yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 8hp pada 7500rpm serta tork maksimum 8.5Nm pada 6500rpm.
Ia menggunakan sistem transmisi automatik CVT dengan pacuan tali sawat dan ketika diuji baru-baru ini kelajuan untuk skuter ini memuaskan untuk mereka yang ingin menunggang secara santai di dalam bandar.
Dalam pada itu, skuter ini dilengkapi dengan penghidup elektrik, sistem penyejukan udara serta pensijilan Euro 4 menjadikannya lebih mesra alam dan cekap penggunaan bahan api.
MODA Moca ini didatangkan dengan roda hadapan dan belakang berukuran 10 inci dengan tayar tanpa tiub.
Untuk suspensi hadapan, skuter ini menggunakan fork teleskopik.
Sistem brek untuk skuter ini menggunakan brek cakera pada bahagian hadapan dan brek dram pada bahagian belakang yang memberikan cengkaman yang baik.
Skuter ini didatangkan dengan kapasiti tangki bersaiz 4.8 liter dan pengguna mungkin perlu mengisi petrol agak kerap jika digunakan setiap hari untuk perjalanan yang jauh.
Praktikal tetapi penuh personaliti, MODA Moca memastikan setiap tunggangan adalah mudah, ringan dan lincah.
Dengan ketinggian pelana hanya 738mm dan berat 89kg, MODA Moca mudah dikawal dalam suasana kesesakan trafik bandar, lorong sempit serta ketika meletak di ruang parkir yang terhad.
Malah, skuter ini juga sesuai untuk penunggang wanita yang mahukan sebuah skuter yang mudah dan ringan untuk dikendalikan.
Dalam masa yang sama, skuter ini turut dilengkapi dengan ciri praktikal untuk kemudahan harian seperti ruang simpanan asas di bawah pelana tempat duduk.

Walaupun ruang simpanan ini tidak terlalu besar, skuter ini turut dilengkapi dengan rak belakang dan cangkuk praktikal untuk menggantung beg ataupun plastik.
Selain itu, skuter ini dilengkapi dengan paparan skrin digital yang memaparkan meter kelajuan, jam dan lain-lain.
Skuter ini juga hadir dengan lampu utama hadapan dan lampu belakang LED yang terang sebagai ciri keselamatan tambahan.
Dari segi rekaan, MODA Moca hadir dengan jiwa rekaan skuter klasik ikonik yang sejak dahulu telah menjadi lambang kebebasan, gaya dan keperibadian di jalanan seluruh dunia.
Lengkungan bentuk dan karakternya membangkitkan rasa nostalgia jenama Eropah, namun prestasi dan teknologinya telah disesuaikan untuk gaya hidup bandar masa kini.
Ini adalah skuter yang bukan sekadar membawa anda dari satu destinasi ke destinasi yang lain, tetapi menggerakkan anda dengan pesona warna, karakter dan gaya.
Selain itu, pemilik MODA Moca juga bakal disajikan dengan lebih banyak pilihan aksesori yang boleh ditambah.
Antara pilihan aksesori yang boleh ditambah pada skuter tersebut termasuklah penghadang angin hadapan (front windshield) untuk keselesaan tunggangan tambahan dan kotak simpanan belakang untuk simpanan barang dan lebih banyak.
Skuter ini hadir dengan tiga pilihan warna iaitu Neon Orange untuk mereka yang berani dan bertenaga, Piano Black buat mereka yang menginspirasi kekemasan dan keabadian klasik dan Ocean Blue ideal buat mereka yang ceria, segar dan bergaya.
Apa yang lebih menarik, MODA Moca ini ditawarkan pada harga RM3,988 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.
Dengan harga mampu milik ini, MODA Moca memberi peluang kepada pembeli untuk memiliki sebuah skuter yang menepati cita rasa terkini.
Bagi anda yang mencari sebuah skuter dengan rekaan klasik yang ditawarkan pada harga yang lebih murah berbanding telefon pintar kelas premium, Moca boleh dipertimbangkan untuk dimiliki.














