SIK – Anak tunggal Allahyarham Sariya Che Hin, 51, yang dibunuh dalam keadaan tragis mahu kematian ibu dan adik angkatnya dibela supaya keadilan dapat ditegakkan agar kejadian pada malam Sabtu lalu tidak berulang kepada orang lain.
Mohd. Noor Hafifi Hassan, 28, berkata, dia tidak mahu orang lain merasai kesedihan yang sama seperti dialaminya.
Katanya, dia berharap agar semua pihak mengambil iktibar atas kejadian yang berlaku supaya sentiasa berwaspada akan keselamatan diri dan keluarga.
“Saya berharap kematian ibu dan adik mendapat pembelaan sewajarnya. Saya juga berharap netizen tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian ibu dan adik.
“Sewaktu di hospital, saya dengar pelbagai cerita tular termasuk rakaman suara yang disebarkan di media sosial. Kalau ada saksi, saya mohon tampil,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Maarif, Jeneri di sini malam kelmarin.
Kelmarin, Kosmo! Online melaporkan mayat Sariya dan Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, ditemukan di rumah sewa mereka di Kampung Sekolah, Juru pada pukul 7.30 malam dengan kesan tikaman dan kelar pada anggota badan dengan kepala dan tangan yang hampir terputus.
Susulan kejadian itu, polis menahan suami mangsa berusia 57 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan bagi membantu siasatan.
Mohd. Noor Hafifi yang juga jurutera di sebuah pelabuhan di Manjung, Perak berkata, dia terkejut apabila menerima perkhabaran mengenai kematian ibu dan adiknya sebaik pulang dari tempat kerja.
“Sebaik mendapat panggilan, saya tidak percaya dan segera menghantar pesanan kepada ibu menerusi aplikasi WhatsApp, namun tidak dibalas.
“Saya sebenarnya memang bercadang untuk pulang ke rumah ibu. Banyak yang saya lalui bersama ibu dan terasa sangat singkat waktu bersama ibu dan adik,” katanya.
Sementara itu, di Seberang Perai, seorang lagi anak angkat Sariya, Nur Hassyiffa Ramli, 20, berkata, dia tidak menolak kemungkinan pelaku merupakan individu yang mengenali rapat arwah ibunya sehingga tergamak bertindak sedemikian terhadap mangsa.
Operator kilang itu berkata, suspek seolah-olah mahu melepaskan amarah atau dendam berdasarkan tindakan kejamnya.
Sariya mempunyai seorang anak kandung hasil perkahwinan dengan suami pertama, manakala Nur Hassyiffa dan Nur Afrina atau lebih dikenali sebagai Wardah merupakan anak angkat yang dijaga wanita tersebut sejak kecil.
“Sampai sekarang saya masih tidak percaya kejadian ini. Ayah ada menghubungi saya pukul 7.30 malam, Sabtu lalu sambil menangis teresak-esak beritahu ibu dan adik dibunuh, Saya seperti tidak percaya. Ingatkan main-main,” katanya.
Menurut Nur Hassyiffa, arwah ibunya menetap di kediaman sewa itu bersama adik dan bapa tirinya.
“Adik ada menghantar mesej kepada saya pada pukul 11.45 pagi berserta emoji (wajah kuning, mata merah dan gigi taring), namun dia hanya menulis perkataan ‘wei’.
“Saya tidak sempat balas dan itulah mesej terakhir daripada adik yang rapat dengan saya,” katanya.
Cerita gadis itu, arwah ibunya merupakan seorang individu yang sangat baik hati dan rajin mencari duit.
“Ibu comel dan kecil sahaja orangnya. Dia bekerja di kantin kilang dan ambil tempahan kuih, manakala ayah pula bekerja sebagai pengawal keselamatan di Batu Kawan,” katanya.
Sementara itu, abang Sariya, Bismi, 60, pula memberitahu, selama ini arwah langsung tidak pernah berkongsi masalah termasuk hal rumah tangga dengan adik-beradik yang lain.
“Arwah memang sangat peramah, saya tak pernah diberitahu tentang masalah yang dia hadapi dan ini juga merupakan pernikahan keduanya dengan lelaki itu. Kami memang tak tahu bila mereka kenal dan kahwin.
“Suami baharu ini memang kami tidak rapat dan tak pernah bersembang. Kalau jumpa dia, dia senyap dan tidak bercampur (bergaul),” katanya.















