BEKAS jurulatih Pulau Pinang, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dilantik menggantikan E. Elavarasan untuk mengendalikan skuad Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini.
Sumber rapat berkata, bekas penyerang kebangsaan Harimau Malaya itu sudah tiba di Kota Bharu untuk mengendalikan pasukan.
“Ujian pertama untuk Akmal Rizal adalah pada aksi suku akhir pertama Piala FA menentang Sabah FC di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam esok.
“Pemilihan Akmal Rizal dilihat tepat kerana beliau tahu suasana bola sepak di Kelantan dan pernah bermain bersama The Red Warriors (TRW) pada 2010. Jadi, saya yakin Akmal Rizal mampu menggalas tugas tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, sumber memberitahu, Akmal Rizal akan membentuk gandingan dengan Zairul Fitree Ishak yang merupakan bersama bekas rakan sepasukannya semasa beraksi dengan TRW satu masa dahulu.
Difahamkan, Elavarasan direhatkan daripada mengemudi Kelantan TRW susulan prestasi tidak menentu pasukan itu termasuk tewas 1-4 kepada Terengganu FC sementara Muamer Salibasic yang merupakan penolong jurulatih pulang ke Bosnia buat sementara waktu atas urusan keluarga.
Selepas mengharungi tujuh perlawanan bersama Elavarasan, Kelantan TRW menduduki tangga ketujuh dengan mengumpul lapan mata selain membawa pasukan ktu mara ke aksi suku akhir pertama Piala FA musim ini.