Pendidikan percuma ditawarkan kepada 5,800 anak keluarga miskin dan pengecualian bayaran balik pinjaman bagi graduan kelas pertama.

Belanjawan 2026: Kebajikan pelajar IPT terus dibela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BELANJAWAN 2026 yang dibentangkan minggu lalu jelas menunjukkan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan sebaik mungkin isu di institusi pengajian tinggi (IPT).

Peruntukan RM18.6 bilion yang diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim meliputi penambahbaikan kemudahan kampus, kursus dan kebajikan, pembangunan sahsiah dan kebolehpasaran bakal graduan.

Isu kekurangan kolej kediaman akan diatasi dengan pembinaan 1,000 unit residensi di Universiti Malaya dan kebajikan pelajar kurang berkemampuan terus dibela menerusi Ikhtiar Dapur Madani.

Selain itu, pendidikan percuma turut ditawarkan kepada 5,800 anak keluarga miskin dan pengecualian bayaran balik pinjaman bagi graduan kelas pertama. Biasiswa, pinjaman dan elaun pendidikan kepada pelajar yang layak terus diperkasa.

Tumpuan turut diberikan kepada kursus berdaya maju seperti kecerdasan buatan, perbankan kewangan Islam, ekonomi, perakaunan dan undang-undang. Program MySiswa Job On Campus pula ibarat serampang dua mata bagi membantu pelajar memerlukan bukan sahaja memperoleh pendapatan sampingan, malah kemahiran keusahawanan.

Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diperkukuhkan agar graduan kelak bukan sahaja mahir teori, tetapi terdedah dengan latihan industri antaranya pembangunan limbungan kapal pengajaran yang dilengkapi kemudahan penyelidikan dalam bidang maritim berteknologi tinggi menerusi projek Teaching Shipyard TVET Marine di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Mohd. Zamri Ibrahim berkata, fasiliti itu kelak bakal memberi peluang kepada pelajar berdasarkan pengalaman industri sebenar.

“Pelajar boleh terlibat secara langsung dalam kerja-kerja pembinaan, penyelenggaraan dan penyelidikan kapal termasuk teknologi baharu seperti kapal elektrik dan hidrogen.

“Pengalaman ini diyakini mampu meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan dan memenuhi keperluan industri sebenar,” katanya kepada Kosmo!.

Katanya, pembangunan fasiliti Teaching Shipyard TVET Marine akan membuka jalan kepada penyelidikan bersama, perkongsian kepakaran dan pemindahan teknologi berimpak tinggi dengan pihak industri. Senergi itu bakal mengukuhkan lagi kedudukan UMT dalam kelompok 300 universiti terbaik dunia.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain pula berkata, inisiatif Dapur Madani dan MySiswa Job on Campus amat membantu meringankan beban kewangan pelajar.

Berdasarkan kajian Indeks Kesejahteraan Pelajar dilaksanakan, masalah kewangan menjadi perkara utama yang menjejaskan tumpuan dan motivasi pelajar.

“Dua inisiatif ini disambut baik kerana memberi manfaat kepada kesejahteraan dan fokus pembelajaran pelajar.

“Dapur Madani yang dilakukan secara gotong-royong oleh pelajar boleh menyerlahkan nilai-nilai murni seperti kerjasama dan empati.

“MySiswa Job on Campus pula umpama memberi pancing kepada pelajar untuk menambah rezeki di samping mendapat pengalaman sebelum mereka menamatkan pengajian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN