Gadis Pesona Ahad minggu ini, Nur Syamimi Shahrolizam, 21, tekad mengorak langkah sebagai yang pertama dalam keluarga menceburi bidang kejuruteraan.
Ironinya, Syamimi yang berasal dari Alor Gajah, Melaka sering disarankan memilih bidang fesyen oleh keluarga kerana rupa parasnya yang menawan dan gaya penampilannya yang menarik.
Kepada Kosmo! Ahad Syamimi berkongsi cerita.
KOSMO! AHAD: Kongsikan mengenai diri anda?
Syamimi: Saya baru saja tamat Diploma Kejuruteraan dan bakal menyambung pembelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Pembuatan di UiTM Cawangan Pulau Pinang.
Kenapa kejuruteraan?
Saya mahu jadi jurutera yang pertama dalam keluarga. Walaupun keluarga pernah menyarankan saya mengambil jurusan lain seperti fesyen, saya tetap dengan pendirian.
Lagipun, saya seorang yang tegas, kurang sesuai watak feminin.
Boleh ceritakan pengalaman dalam jurusan itu?
Saya pernah bekerja sambilan untuk menampung perbelanjaan ketika di peringkat diploma. Jadi, selepas pulang dari kerja barulah saya ada masa untuk belajar, menyiapkan tugasan dan pada masa sama menghasilkan kandungan untuk media sosial. Ada masanya saya terpaksa berjaga sampai lewat malam. Walaupun penat, ia mengajar saya disiplin, kesabaran dan keazaman.
Cantik atau berpendidikan?
Seperti semua orang selalu kata beauty is privilege, kecantikan memang beri kelebihan dalam banyak perkara. Bagi saya, lebih baik kalau kita bukan saja cantik, tapi juga berpendidikan.
Namun, ramai wanita menerima penghormatan dan dihargai kerana ilmu yang dimiliki tanpa perlu penampilan menarik.
Pengalaman pahit hidup?
Tiada sangat cuma ketika melanjutkan pengajian di peringkat diploma, saya sering menerima kritikan mengatakan saya berlebihan dalam berpakaian.
Namun, saya tidak ambil hati kerana saya tahu suatu hari nanti, merekalah yang akan meniru gaya dan cara saya.
Siapa idola atau pempengaruh yang digemari?
Malia kerana dia sangat yakin dengan diri sendiri dan sentiasa berusaha menjadi versi yang lebih baik. Saya terinspirasi dengan sikap positifnya.
Pendapat mengenai remaja mengikuti misi Global Sumud Flotilla?
Sangat bagus. Kalau ada peluang atau rezeki untuk ikut serta, saya rasa memang patut direbut.
Tidak kisah sama ada masih belajar, baru menamatkan pengajian atau sedang bekerja, kerana peluang seperti ini bukan datang selalu.
Jika satu hari nanti saya diberi rezeki untuk menyertai misi itu, saya akan pergi tanpa ragu. Namun, pastinya dengan izin dan restu kedua ibu bapa serta keluarga.
Ciri-ciri lelaki idaman?
Bagi saya, pasangan yang terbaik ialah lelaki yang mampu memimpin dengan ilmu dan nilai agama. Saya tak pernah terburu-buru dalam soal jodoh. Kalau cepat, alhamdulillah, kalau lambat pun tak mengapa. Apa yang penting, biarlah masa itu datang apabila saya sudah bersedia sepenuhnya, mungkin sekitar tahun ketiga pengajian nanti.
Perancangan masa depan Syamimi?
Selesai pengajian ijazah, saya berhasrat untuk menyambung pembelajaran dalam bidang pendidikan sama ada sebagai guru atau pensyarah.














