fbpx
NAJEHAH yang memakai niqab beraksi lasak di dalam Gua Batu Maloi, Negeri Sembilan (kiri). Yasmine urut membuktikan wanita berniqab juga boleh melakukan aktiviti air di dalam gua (kanan).

Semangat dua wanita berniqab beraksi lasak jelajah gua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENGEMBARA jauh ke dalam perut gua untuk menikmati keindahan alam menjadi hal yang gemar dilakukan oleh wanita berniqab itu.

Tanpa rasa takut di hati, Siti Nurnajehah Ahmad Khaidir nekad membulatkan jiwa untuk meneruskan kecintaannya terhadap aktiviti caving atau meneroka gua yang mula diceburi sejak setahun lalu.

Keterujaan meneroka rahsia gua membuatkan Siti Nurnajehah, 26, tidak menghiraukan cabaran mahupun pandangan serong mengatakan wanita mengenakan niqab tidak sesuai terlibat dalam aktiviti lasak.

Berlapang dada menerima sebarang tanggapan, wanita kelahiran Negeri Sembilan yang mesra disapa sebagai Najehah itu punya alur fikir tersendiri.

“Bagi saya niqab bukan alasan atau halangan untuk buat sebarang aktiviti. Ramai orang ingat bila pakai niqab ini kita akan terbatas mahupun mengundang risiko.

“Tetapi sebenarnya tiada apa pun yang berbeza kerana saya tetap boleh melakukan sebarang aktiviti lasak mahupun menyempurnakan penggembaraan di gua tanpa masalah.

“Saya sudah buktikan yang semuanya baik-baik saja dan tiada alasan lagi untuk tidak menutup aurat sesempurnanya,” katanya kepada CitaRasa.

NAJEHAH

Lebih setahun berkecimpung dengan hobi meneroka gua, Najehah mengakui pemilihan material niqab yang betul penting bagi mengelakkan ketidakselesaan saat melakukan aktiviti.

Bahkan dia juga menzahirkan rasa syukur kerana tidak pernah dalam ‘circlenya’ berdepan golongan pesimis mahupun mereka yang mengeluarkan kata-kata sinis kepadanya.

“Apa yang penting kena pandai sesuaikan niqab mengikut situasi. Sebagai contoh, kalau melakukan caving saya pilih material niqab lebih ringan dan nipis supaya senang bergerak dan tidak ganggu aktiviti.

“Setakat ini tidak pernah ada sesiapa pun yang menghalang atau minta saya buka niqab apabila melakukan aktiviti lasak. Begitu juga dengan kawan-kawan yang menyertai aktiviti sebegini semuanya sangat positif dan memberi sokongan.

“Mereka bahkan kagum dan tidak sangka perempuan berniqab dan berjubah pun boleh melakukan aktiviti lasak sebegini,” katanya.

Sepanjang tempoh setahun itu, Najehah sudah meneroka banyak gua sama ada di tanah air mahupun luar negara.

NAJEHAH yang memakai niqab beraksi lasak
di dalam Gua Batu Maloi, Negeri Sembilan.

Antara lokasi yang pernah dikunjungi ialah Gua Batu Maloi, Negeri Sembilan; Gua Ikan, Kelantan; Gua Gunung Datok, Negeri Sembilan; Gua Bukit Batu Bujang Lelo, Negeri Sembilan, Gua Berlian, Thailand dan Gua Hira, Arab Saudi.

Teruja bercerita perihal kegemarannya, Najehah mengakui banyak mendengar keseronokan pengalaman meneroka gua telah membuka hatinya untuk turut terlibat sama.

Sudah terbiasa melakukan pelbagai aktiviti lasak seperti via ferrata, denai kembara, memandu go-kart, menunggang kuda dan menyelam, Najehah mengakui turut mengenakan niqab sepanjang melakukan hal-hal kegemarannya itu.

“Sejak 2018 saya sudah mula berniqab sepenuhnya dan sudah terbiasa melakukan semua perkara itu sambil memakai niqab.

“Sebelum ini saya tidak mempunyai media sosial, jadi ramai yang tidak tahu tentang kegiatan dilakukan. Tapi, bila mula kongsikan di media sosial beberapa tahun kebelakangan ini, ramai yang memberi pujian dan ingin turut sama menyertainya dengan saya.

“Ada yang kata rupanya perempuan pakai niqab juga boleh melakukan pelbagai aktiviti lasak, jadi mereka juga boleh melakukan dan ini membuat saya gembira apabila berpeluang untuk memberikan mesej positif kepada orang lain,” katanya yang turut mengendalikan kumpulan khas untuk wanita melakukan aktiviti lasak bergelar Ninja Venture.

Menyimpan hasrat untuk meneroka lebih banyak gua yang ada, Najehah tidak melihat aktiviti meneroka gua sebagai kegiatan membuang masa atau membosankan.

Baginya, setiap satu gua mempunyai ceritera tersendiri dan rahsia terpendam yang menanti masa untuk dikongsikan dengan khalayak.

“Setiap gua ada bentuk dan keindahannya sendiri, sebab itu aktiviti ini tidak membosankan di samping trek yang pelbagai.

“Begitu juga bentuk muka bumi yang berbeza dan unik serta cabaran seperti redah sungai, laluan sempit atau mendaki,” ujarnya.

YASMINE

Selain Najehah, Yasmine Mohamed Zalman juga mengenakan niqab saat melakukan aktiviti meneroka gua.

Wanita kelahiran Pulau Pinang itu yakin bahawa niqab tidak pernah sekali pun menghalang dirinya daripada melibatkan diri dengan hal sebegitu.

“Sama ada berniqab atau tidak, itu bukan persoalan kerana pengalaman menjelajah gua tetap tidak terganggu sedikit pun.

“Fokus saya sentiasa pada keindahan perjalanan dan keselamatan, manakala niqab tidak pernah menjadi halangan untuk menikmati setiap momen,” kongsi wanita berusia 29 tahun itu.

Asyik menikmati pengalaman yang menyeronokkan, Yasmine tidak pernah leka menjaga keselamatan diri terutama ketika berada di dalam air.

Bukan saja perlu fokus, Yasmine turut mendidik dirinya agar tidak mudah cemas ketika berdepan dengan cabaran seperti kesukaran bernafas atau bergerak.

“Antara cabaran utama ialah ketika keluar dari air kerana bernafas dengan memakai niqab boleh menjadi sedikit sukar.

“Dalam situasi ini, saya perlu bertenang, elak untuk panik dan kawal pernafasan dengan baik. Secara tidak langsung memakai niqab ini juga membantu saya untuk lebih bersabar dan berdisiplin dalam setiap langkah,” tuturnya.

Sama seperti Najehah, Yasmine turut mencatat sejarah tersendiri dengan meneroka beberapa buah gua popular di tanah air.

Antara gua yang pernah diterokainya ialah Gua Wang Burma, Perlis; Gua Tempurung, Perak; Gua Kelam 2, Perlis dan Gua Batu Maloi, Negeri Sembilan.

“Keindahan alam semula jadi dan cabaran yang datang bersama aktiviti ini membuatkan saya sangat tertarik dengan aktiviti meneroka gua.

“Setiap langkah ke dalam gua berasa seperti satu perjalanan baharu, penuh kejutan dan keindahan yang sukar digambarkan. Meskipun ada berdepan cabaran, namun begitulah juga kehidupan,” katanya.

Aktif melibatkan diri dengan meneroka gua sejak sedekad lalu, Yasmine memberitahu minatnya timbul sejak bapanya mula memperkenalkan perkara itu kepadanya.

Setelah merasai pengalaman meneroka gua, dia dapat rasakan keterujaan itu tidak dapat dihentikan meskipun mengenakan niqab.

“Saya mula didedahkan kepada aktiviti teroka gua oleh ayah sekitar usia 10 tahun. Dari situ minat saya semakin mendalam terutama keluarga juga menggalakkan untuk saya berani mencuba perkara baharu untuk membina keyakinan.

“Sejak berniqab pada 2012, saya tidak melihat niqab sebagai halangan untuk melakukan aktiviti lasak. Apa yang utama ialah kita perlu peka terhadap risiko setiap aktiviti dan sentiasa mengutamakan keselamatan.

“Dengan melakukan persediaan yang betul, wanita berniqab juga mampu melakukan apa saja yang mereka impikan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN