fbpx
Keadaan sebuah kereta yang terjatuh ke dalam gaung di Lebuh Raya Kuala Lumpur Seremban, awal pagi hari ini.

Dua termasuk remaja maut, kereta jatuh gaung di Lebuh Raya KL-Seremban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Dua lelaki maut manakala seorang lagi lelaki dan wanita cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas sebelum jatuh ke dalam gaung di kilometer (KM) 301.2 Lebuh Raya Kuala Lumpur Seremban, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 1.45 pagi itu, pemandu dan penumpang kereta masing-masing berusia 23 dan 16 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner, Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila kereta terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan jatuh ke dalam gaung di tepi jalan.

“Dua penumpang iaitu lelaki dan wanita tempatan berusia lingkungan 20-an dibawa ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan ekoran kecederaan di kaki dan tangan.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Narolhisyam Endi di talian 019-5897115.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya mengamalkan pemanduan yang berhemah, sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan sentiasa berhati-hati semasa memandu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN