KUALA LANGAT – Tindakan seorang warga emas memandu secara melulu dengan mengubah haluan untuk membelok mengakibatkan seorang lelaki maut dalam kejadian di Kilometer 25 Jalan Klang-Banting-Port Dickson, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira 2.20 petang dengan mangsa yang dipercayai pekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berusia 20-an yang menunggang motosikal melanggar sisi kanan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser dipandu wanita berusia 60-an.
Mangsa yang merupakan pekerja swasta itu disahkan maut kira-kira pukul 8.30 malam selepas menerima rawatan di Hospital Banting.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu MPV itu telah mengubah haluan dari lorong paling kiri ke kanan untuk membelok.
“Semasa MPV sedang membelok, datang motosikal jenis Honda RS-X ditunggangi mangsa dari arah belakang telah melanggar bahagian sisi sebelah kanan MPV itu.
“Akibat pelanggaran, mangsa cedera di bahagian tangan, kaki dan dibawa ke Hospital Banting untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Akmalrizal berkata, pihaknya kemudiannya menerima makluman daripada pegawai perubatan Hospital Banting bahawa mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Menurut beliau, pemandu kereta tidak yang mengalami sebarang kecederaan manakala semakan mendapati mangsa tidak mempunyai lesen memandu.
“Pemandu MPV dan saksi bebas yang melihat kemalangan telah hadir memberikan keterangan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Daerah ini.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














