PETALING JAYA – Sebanyak RM1 bilion disediakan bagi memperhebat Ikhtiar Madani Untuk Rakyat pada tahun depan.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasil penjimatan juga membolehkan Ikhtiar Madani Untuk Rakyat dilaksanakan.
Menurutnya, dalam masa sama, Sejati Madani iaitu Jawatankuasa Kampung menjalani kegiatan ekonomi yang mereka tentukan dengan dana sehingga RM100,000.
“Sejak 2024, lebih 9,500 aktiviti menambah pendapatan komuniti, seperti Kampung Sungai Protan, Perak menjana sehingga RM90,000 sebulan melalui projek kolam memancing.
“Kampung Sungai Gulang-gulang, Selangor melalui projek semaian benih kelapa varieti Sungai Gulang-Gulang (SGG CN16) menjana RM25,000 sebulan.
“Kampung Hiliran Jejawi, Terengganu mengusahakan santan, kelapa parut dan kerisik dengan pendapatan bulanan RM40,000 serta Kampung Abi, Perlis telah menjana pendapatan RM15,000 sebulan dalam perniagaan ketupat palas dan makanan sejuk beku,” katanya di Dewan Rakyat hari ini. – KOSMO! ONLINE














