PUTRAJAYA – Kerajaan akan memastikan agihan kuota tambahan Program Budi Madani RON95 (Budi95) kepada pemandu e-hailing dibuat berdasarkan jumlah penggunaaan setiap bulan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jika pemandu e-hailing itu ada bukti bahawa mereka menggunakan bahan api yang tinggi untuk pekerjaan itu setiap bulan maka, mereka layak diberi kuota tambahan.
“Yang penting, mesti ada bukti penggunaan sebenar bukan sekadar tuntutan kelayakan tanpa justifikasi.
“Kita tidak mahu orang yang tidak menggunakan minyak untuk bekerja turut menikmati subsidi tambahan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas di sini, hari ini.
Katanya, kelayakan ini akan ditetapkan khusus bagi pemandu sepenuh masa yang menggunakan kenderaan mereka untuk bekerja.
Amir Hamzah berkata, pemandu yang menggunakan minyak dengan lebih banyak akan mendapat kelayakan yang lebih tinggi.
Menurutnya, pihaknya telah menerima sebahagian data itu melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan sedang meneliti bagaimana pemberian ini boleh disalurkan dengan lebih tepat.
“Insya-Allah, sebelum pertengahan bulan ini, bantuan atau kelayakan itu akan dikeluarkan kepada mereka yang layak bekerja di bawah platform e-hailing dan setakat ini, saya belum melihat laporan penuh yang telah diserahkan oleh APAD kepada MOT, tetapi pasukan akan membuat analisis yang terperinci,” katanya. – KOSMO! ONLINE