TANJUNG MALIM – Seorang pemandu lori lelaki berumur 24 tahun maut dalam kemalangan melibatkan tiga buah lori di Kilometer (KM) 378.0, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Tanjung Malim pada pukul 3.57 petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa yang maut dipercayai memandu sebuah lori tiga tan jenis Isuzu membawa muatan beras.
“Dua buah lori lain masing-masing ialah sebuah jenis Volvo membawa muatan gulungan besi serta sebuah lagi jenis Nissan membawa muatan barangan terpakai.
“Mangsa yang tersepit dibahagian pemandu dan disahkan maut di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan sementara tiga lelaki lain iaitu penumpang lori Isuzu, seorang pemandu lori Volvo dan pemandu lori Nissan yang mengalami kecederaan menerima rawatan lanjut di hospital terdekat,” katanya di Tanjung Malim, hari ini.
Katanya, mayat mangsa yang meninggal dunia itu diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut dan operasi tamat pada pukul 5.58 petang. – KOSMO! ONLINE














