BAGI mereka yang sukakan kelainan dalam dekorasi rumah, tema safari merupakan pilihan yang unik dan menarik.
Ia bukan sahaja menghadirkan nuansa alam liar, tetapi juga memberikan aura eksotik yang menghidupkan ruang dalaman rumah.
Menurut pereka dalaman, Faiz Abdullah, safari membawa inspirasi daripada warna-warna bumi, corak haiwan, tekstur semula jadi dan sentuhan etnik Afrika yang kaya budaya.
Dengan gabungan elemen-elemen ini, kediaman mampu kelihatan unik, mewah tetapi tetap santai.
“Langkah pertama dalam mencipta dekorasi safari adalah memilih palet warna yang sesuai. Gunakan warna tanah seperti coklat, beige, hijau zaitun, dan hitam untuk membangkitkan rasa semula jadi.
“Warna-warna ini boleh diaplikasikan pada dinding, permaidani, langsir, serta perabot utama. Jika ingin lebih dramatik, pilih dinding berwarna natural kemudian tambah elemen hiasan bercorak haiwan seperti belang harimau, bintik harimau bintang atau belang zebra,” katanya kepada CitaRasa.
Tambahnya, warna emas atau gangsa juga boleh ditambah sebagai aksen untuk memberi sentuhan elegan.

Seterusnya, pemilihan perabot memainkan peranan besar dalam menonjolkan tema safari. Perabot kayu jati atau rotan amat sesuai kerana bahan semula jadi ini mencerminkan kehangatan dan keaslian alam.
Kongsinya, sofa kulit atau fabrik linen dengan kusyen bercorak haiwan akan menjadikan ruang tamu lebih hidup.
“Meja kopi kayu dengan ukiran etnik atau aksesori logam antik juga boleh dijadikan titik tumpu yang menyerlah.
“Selain itu, jangan lupa untuk menambah tekstur dan corak. Karpet berbulu, tikar anyaman atau cadar bercorak geometri etnik Afrika mampu melengkapkan suasana,” ujarnya.
Katanya lagi, jika pemilik rumah gemar bereksperimen, gabungkan beberapa corak dalam satu ruang, tetapi pastikan tidak terlalu sarat.
Keseimbangan antara corak dan warna adalah kunci utama agar dekorasi kelihatan harmoni dan tidak berlebihan.

Pencahayaan juga memainkan peranan penting. Gunakan lampu meja dengan kaki daripada kayu atau seramik bercorak tribal. Lampu gantung rotan atau buluh akan menambah kehangatan suasana malam. Lilin dalam bekas kaca atau tanglung logam bercorak boleh dijadikan hiasan tambahan untuk mewujudkan suasana romantik.
“Hiasan dinding pula boleh diperindah dengan lukisan haiwan liar, peta Afrika kuno atau bingkai gambar bertema alam. Jika anda sukakan suasana lebih realistik, tambahkan patung gajah kecil, ukiran zirafah kayu atau topeng etnik Afrika di sudut ruang,” jelasnya yang memberi perkhidmatan seni reka dalaman secara bebas.
Kehadiran tumbuhan hijau dalam pasu besar seperti pokok palma atau monstera akan menyuntik kesegaran semula jadi ke dalam rumah.
Buat ruang peribadi, bilik tidur bertema safari boleh dihias dengan cadar bercorak zebra, harimau bintang, langsir kain linen dan lampu meja kayu.
Tambahan bantal hiasan bercorak etnik akan menghidupkan tema safari.
“Secara keseluruhannya, dekorasi rumah bertema safari adalah tentang menggabungkan elemen semula jadi dengan sentuhan eksotik yang berani.
“Ia sesuai untuk mereka yang ingin menonjolkan gaya hidup penuh karakter dan sukakan suasana dekat dengan alam,” tuturnya.














