PELABURAN Arsenal membeli Viktor Gyokeres dengan harga £55 juta (RM312.31 juta) yang boleh melonjak hingga £63.5 juta (RM360.58 juta) boleh dikatakan masih belum membawa hasil.
Selepas sembilan aksi dalam semua kejohanan musim ini, penyerang yang dibeli dengan kontrak lima tahun daripada Sporting Lisbon ini cuma berupaya menghasilkan tiga gol dan kali terakhir dia menggegar gawang adalah pertengahan bulan lalu.
Penyerang Liverpool, Hugo Ekitike yang dibeli daripada Eintracht Frankfurt berharga £69 juta (RM391.81 juta) beserta tambahan bonus £13 juta (RM73.82) lebih mencuri tumpuan sebenarnya.
Walaupun turut meraih satu kad merah tetapi Ekitike setakat ini sudah meledak lima gol daripada sembilan perlawanan selain gaya permainannya dilihat lebih relevan dengan taktikal Arsenal.
Apapun, pengurus Arsenal, Mikel Arteta masih berpuas hati dengan keseluruhan Gyokeres biarpun kini gagal menjaringkan gol dalam lima perlawanan terakhirnya.
Bagi Arteta, penggempur Sweden ini dilihat semakin menyesuaikan diri dengan falsafah permainan Arsenal terutamanya selepas percubaannya terkena tiang membolehkan Gabriel Martinelli meledak gol ke atas Olympiakos.
Gyokeres adalah seorang penyerang lengkap secara fizikal dengan kekuatan tubuh, kepantasan dan agresif ketika menekan pertahanan lawan walaupun penyudahnya boleh diasah lebih tajam.
Ada banyak momen yang memperlihatkan kelemahan utamanya seperti gagal menyudahkan peluang mudah hingga menyaksikan statistik jaringannya menurun berbanding dua musimnya di Portugal.
Masalah ini bukan disebabkan Gyokeres tidak menjaringkan gol tetapi konsistensi dan tahap kompetitif begitu tinggi di EPL yang menyukarkannya membuat rembatan deras atau larian solo mudah tanpa dibentes lawan.
Dari sudut psikologi, pemain berusia 27 tahun ini juga dilihat tergesa-gesa dalam kotak penalti, berbeza seperti penyerang seperti Erling Haaland dan Harry Kane yang lebih tenang membuat keputusan tepat.
Teknik kaki kirinya juga lemah berbanding kaki kanan selain kegemarannya mengambil sentuhan tambahan sebelum melepaskan rembatan membuatkan pertahanan lawan boleh menutup ruang kosong.
Dalam bola sepak era moden, penyerang bukan sahaja dinilai melalui jumlah jaringan tetapi kecekapannya mencipta ruang sama ada buat diri sendiri atau rakan sepasukan lain.
Arsenal beruntung kerana Gyokeres mempunyai karakter seorang yang tidak cepat berputus asa dan mudah hilang keyakinan.
Ketumpulan penyudah Gyokeres bukanlah kelemahan kekal kerana dia pernag membuktikannya dengan 97 gol dalam 102 penampilan buat Sporting.
Sebab itu Arteta sering bertukar-tukar taktikal untuk mencari ‘kunci’ mengeluarkan potensi sebenar Gyokeres agar menjadi penyerang ditakuti setiap kali bola jatuh di kakinya.
















