“JIKA anda menonton video ini, bermakna saya telah diculik oleh tentera Israel dan ia bertentangan dengan kehendak saya.”
Kalimat yang dilafazkan sukarelawan misi bantuan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza yang ditahan secara tidak sah oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) pada pagi kelmarin buat ramai diulit resah.
Sedih dan bimbang mengenangkan nasib delegasi dari pelbagai negara yang sanggup bertarung nyawa demi menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza diperlakukan sebegitu.
Marah, geram dan rasa benci terhadap Zionis makin membuak-buak.
Setakat pukul 4 petang semalam, lebih 200 delegasi termasuk 15 sukarelawan dari Malaysia (GSF) telah diculik puak ‘iblis’ yang berpuluh tahun menjarah bumi Palestin tanpa sekelumit pun rasa malu.
Penyanyi Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga anak seni pertama yang ditahan, diikuti pempengaruh Farah Lee (Gande Blue) dan tidak lama kemudian penyanyi Heliza Helmi serta adiknya, Hazwana Helmi yang merupakan delegasi kapal Hio pula menerima nasib sama.
Sementara itu, pelakon Ardell Aryana yang menaiki kapal Mikeno terputus hubungan selepas kali terakhir membuat siaran langsung di laman sosial miliknya kira-kira jam 6 pagi (semalam).
Dari awal pelayaran, mereka aktif mengemas kini perjalanan sehinggalah saat-saat terakhir sebelum di bawa IDF ke tempat yang masih belum diketahui.
Insiden ini benar-benar meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja buat kita di Malaysia bahkan banyak negara lain yang setia mengikuti perkembangan misi kemanusiaan GSF.
Sejurus kejadian, ramai bangkit melaungkan protes termasuk di Itali, Jerman, Greece, Sepanyol, Sweden dan Belgium.
Begitu juga di Tunisia, Libya, Morocco dan Turki. Malaysia juga tidak ketinggalan menunjukkan solidariti terhadap penahanan kapal Sumud Flotilla Malaysia.
Malah, saya yakin seantero dunia akan bangkit mengecam Israel serta sekutunya seterusnya menuntut pembebasan sukarelawan GSF dipercepatkan.
Meski hasrat GSF untuk menyampaikan bantuan makanan, ubat-ubatan dan keperluan lain kepada rakyat Gaza tidak kesampaian, bagi saya misi mereka berjaya.
Mereka membuka mata ramai bahawa dunia tidak tidur. Palestin tidak diabaikan, masih ada yang sanggup bergadai nyawa demi menghulurkan bantuan.
Tabik hormat buat anak seni kita, pempengaruh dan sukarelawan lain. Merekalah pahlawan sejati yang membelah lautan tanpa senjata. Hanya berbekalkan semangat dan suara, mereka berjaya ‘menggoyangkan’ Israel yang takut dengan bayang-bayang sendiri.
Menjadi tugas kita di sini untuk terus mendoakan keselamatan semua deligasi misi kemanusiaan ini dan dapat pulang ke negara masing-masing. Tidak lupa juga buat keluarga mereka moga tabah berdepan detik mencabar ini.
Tindakan pantas kerajaan Malaysia dan tekanan daripada negara-negara lain terhadap Israel diharap dapat mempercepatkan proses pembebasan. -KOSMO! ONLINE















