UNIVERSITI kekal relevan menjadi tempat mencipta kejayaan bagi mengubah nasib diri dan keluarganya pada masa depan.

Universiti platform cipta kejayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HUJUNG minggu lalu, beberapa universIti terkemuka di negara ini menerima kemasukan pelajar baharu bagi sesi akademik 2025/2026.

Pelajar-pelajar baharu ini terdiri daripada mereka yang berjaya meraih keputusan cemerlang sama ada di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan lepasan diploma.

Bagi sesi kali ini, adik ipar penulis juga berjaya mendapatkan tempat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor.

Apabila dipelawa untuk menghantar adik ipar, penulis terus menyahut seruan itu kerana tidak pernah lagi menjejakkan kaki di UTM.

Pada masa sama, penulis ingin mengimbau kembali memori sewaktu daftar masuk ke universiti dan melalui minggu orientasi kira-kira 15 tahun lalu.

Sepanjang separuh hari berada di sana, penulis dapati pelbagai lapisan masyarakat tidak kira pelajar daripada keluarga senang, sederhana atau serba kekurangan hadir mendaftarkan diri.

Ini membuktikan bahawa uviversiti kekal relevan menjadi tempat kepada seseorang itu mencipta kejayaan bagi mengubah nasib diri dan keluarganya pada masa depan.

Ini dibuktikan dengan dengan kisah seorang pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan 10A dalam peperiksaan SPM pada 2019. Impiannya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti hampir tidak menjadi kenyataan kerana dihimpit kemiskinan.

Namun dengan bantuan pelbagai pihak, Abdul Manaf Abdul Aziz, 24, berjaya melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan pada hari ini dia bergelar doktor.
Lebih membanggakan dia berjaya lulus dengan cemerlang seterusnya menerima Anugerah Pelajar Terbaik dalam kalangan 11 penuntut Kulliyyah Perubatan.

Penulis percaya, ramai lagi orang di luar sana yang berjaya mencipta kejayaan selepas meraih segulung ijazah daripada universiti.

Sebelum ini, ada sesetengah pihak beranggapan bahawa bergelar graduan belum tentu menjamin masa depan kerana ramai yang menganggur dan terpaksa bekerja di luar bidang.

Selain itu, perkembangan digitalisasi yang begitu pantas memberi impak dan pengaruh yang besar kepada golongan muda.

Misalnya, impian untuk dikenali, memperoleh ramai pengikut serta keuntungan mudah dicapai melalui media sosial yang kian popular menyebabkan pendidikan tinggi semakin diabaikan.

Hakikatnya ramai tidak sedar, individu memiliki sijil daripada institusi pengajian tinggi mempunyai peluang lebih besar untuk mendapat pekerjaan dan menjana gaji lebih bagus berbanding mereka yang tiada.

Jadi, kepada mereka yang baru mendaftar dan sedang menuntut di menara gading, belajarlah bersungguh-sungguh untuk meraih keputusan cemerlang.

Seraplah sebanyak mungkin ilmu yang diajar di universiti dan kemahiran-kemahiran lain sebagai persiapan untuk menempuh alam pekerjaan pada masa depan.

Janganlah sesekali menghampakan harapan ibu bapa dan keluarga yang ingin melihat anda berjaya di menara gading. Selamat berjuang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN