PETALING JAYA – Kerajaan bersetuju memberi pemandu e-hailing sepenuh masa had
kelayakan tambahan subsidi petrol melalui Budi Madani RON95 (Budi95) sebelum pertengahan bulan ini.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan berkata, bagaimanapun pemandu e-hailing tidak perlu membuat permohonan secara individu.
“Kerajaan akan berurusan dengan Syarikat Pengendali e-hailing (EHO) untuk membuat permohonan secara berkelompok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, kerajaan juga bersetuju untuk melanjutkan kelayakan untuk Budi95 kepada pemilik bot berdaftar, tanpa memerlukan lesen memandu yang sah.
Jelasnya, kerjasama akan dilaksanakan dengan agensi kerajaan negeri, seperti Lembaga Sungai-sungai Sarawak dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah bagi mengenal pasti pemilik bot berdaftar.
Dalam pada itu, MOF berkata, setakat pukul 6 petang hari ini, jumlah pembelian petrol melalui Budi95 merekodkan transaksi bernilai RM84.2 juta melibatkan lebih 42.3 juta liter petrol RON95.
“Daripada jumlah tersebut, Kerajaan telah menyalurkan subsidi sebanyak RM27.8 juta bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.
“Sejak pengenalan Budi95, lebih 3 juta pengguna telah memanfaatkan BUDI95 dengan jumlah keseluruhan transaksi petrol bersubsidi yang direkodkan adalah sebanyak RM255.6 juta, melibatkan 128.4 juta liter petrol dan subsidi berjumlah RM67.0 juta,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE