KUALA NERUS – Kalau jodoh tidak ke mana. Itulah yang berlaku kepada pasangan orang kurang upaya (OKU), Mohd. Hafizey Mat Nasir, 36, yang memilih Mas Ibrahim, 65, menjadi suri hatinya walaupun perbezaan umur 29 tahun.
Pasangan ini merupakan OKU cacat penglihatan itu selamat diijabkabulkan kira-kira seminggu lalu selepas enam bulan berkenalan.
Mohd. Hafizey berkata, dia mula terdetik untuk mengenali isterinya yang gemar bersiaran membuat ucapan di stesen radio kegemaran mereka pada kira-kira tiga tahun lalu.
“Setiap mendengar suaranya berbual dengan juruhebah radio bertugas, hati saya jadi tertarik.
“Saya berusaha untuk mengenalinya sebelum berjaya mendapatkan nombor telefon bimbitnya daripada seorang rakan kira-kira enam bulan lalu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Seberang Takir di sini semalam.
Mohd. Hafizey berkata, biarpun lebih muda hampir tiga dekad berbanding Mas, jodoh mereka kuat walaupun ahli keluarga masing-masing pada mula agak meragui perhubungan itu.
Lelaki yang kehilangan penglihatan akibat diabetes kronik kira-kira tujuh tahun lalu berkata, dia dan Mas berjaya menyakinkan keluarga masing-masing sebelum diijab kabul.
“Kami tidak pernah memperdulikan kata-kata orang kerana percaya jodoh merupakan ketentuan Allah.
“Ini perkahwinan ketiga saya, manakala kedua buat isteri saya (Mas). Hasil perkahwinan pertama dengan isteri yang meninggal dunia pada tahun 2020, saya dikurnia seorang anak,” katanya.
Mohd. Hafizey berkata, mereka kini menetap di asrama Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Terengganu di Seberang Takir di sini.
Katanya, dia sedang mengikuti kursus urutan refleksologi di Pertis Terengganu bagi menjadikannya punca rezeki menyara keluarga.
Sementara itu, Mas berkata, dia dan suami juga sedang belajar al-Quran braile di Pertis Terengganu.














