fbpx
Semasa menghadiri Pestapora di Jakarta baru-baru ini penulis turut merasai pelbagai menu popular di situ antaranya sate taichan yang mempunyai tahap kepedasan tak terhingga.

Telinga rasa dibakar api nikmati menu popular Jakarta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARU-BARU ini, saya berpeluang bercuti ke Jakarta, Indonesia. Pengalaman bercuti kali ini benar-benar meninggalkan kenangan manis kepada saya.

Selain mahu menikmati suasana kota besar yang sentiasa hidup, tujuan utama saya adalah untuk menghadiri Pesta Pora 2025, biarpun terpaksa membeli tiket kapal terbang di saat-saat akhir.

Pesta Pora merupakan festival muzik tahunan yang menjadi antara acara budaya terbesar di Indonesia.

Suasana di Pesta Pora 2025 sungguh luar biasa. Ribuan pengunjung hadir dari pelbagai tempat dan setiap pentas dihias kreatif bagi persembahan pelbagai genre muzik daripada indie pop, rap sehinggalah jazz kontemporari.

Saya sendiri sangat teruja kerana dapat menyaksikan beberapa band kegemaran secara langsung bersama rakan-rakan yang turut meminati muzik dari negara seberang ini.

Walaupun penonton sangat ramai, namun suasananya teratur, penuh semangat dan benar-benar berbaloi untuk dialami, khususnya buat mereka yang pertama kali berkunjung ke Pesta Pora.

Selain muzik, saya juga tidak melepaskan peluang mencuba makanan tempatan yang menjadi tarikan utama di Jakarta.

Saya berpeluang menikmati sate taichan iaitu sate ayam pedas yang dihidang bersama sambal merah segar.

Pertama kali merasai sate taichan, rasanya sedikit hambar kerana hidangan itu tidak diperap dengan rempah-ratus seperti kebiasaannya, sebaliknya hanya dilumur garam dan dibakar begitu sahaja.

Tidak hairanlah jika sate taichan dihidangkan bersama limau nipis dan serbuk perasa untuk menaikkan rasanya.

Tetapi apabila dicicah bersama kuah sambal, ia membuatkan telinga penulis terasa seperti dibakar api kerana tahap kepedasannya tidak terhingga.

Harga untuk satu set sate taichan boleh dikatakan cukup murah iaitu 16,000 rupiah (RM4) untuk 10 cucuk.

Selain itu, nasi uduk Betawi iaitu nasi lemak dipadankan dengan lauk-pauk tradisional turut menjadi santapan saya.

Saya juga berkesempatan merasai juadah nasi gultik yang mirip dengan nasi bujang kerana dijual pada harga murah untuk golongan kelas menengah dan bawah.

Nasi gultik atau gulai tikungan dibuat daripada daging lembu yang dimasak gulai santan kuning.

Rasanya tidak kalah enak dan kaya dengan rasa bumbu kunyit dan jintan.

Kekurangannya cuma satu iaitu kuantitinya sangat sedikit.

Untuk sepinggan nasi gultik, penulis memerlukan tiga hingga empat kali suapan sahaja.

Walaupun makanan khas dari Jakarta itu kelihatan cukup sederhana, namun harganya yang murah menjadikan menu tersebut sentiasa diburu oleh warga tempatan terutama anak-anak muda pada waktu malam.

Biarpun ringkas, rasanya yang enak dan suasana menarik, membuatkan saya berasa seolah-olah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian masyarakat setempat.

Bagi saya, percutian ke Jakarta kali ini bukan sekadar untuk bersantai.

Ia membuka mata saya kepada kepelbagaian budaya, muzik dan makanan yang ada di kota metropolitan itu.

Saya percaya, sesiapa sahaja berkunjung ke Jakarta pasti akan pulang dengan pengalaman berharga, sama seperti yang saya rasakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN