SHAH ALAM – Empat individu bakal berentap ke Shanghai, China bagi mewakili Malaysia dalam Kejohanan Akhir Dunia World Corporate Golf Challenge (WCGC) yang akan berlangsung selama lima hari bermula 19 Oktober depan.
Isyraf Widad Muhammad Ikmal Opat dan Muhammad Adib Ibrahim dari Widad Skycore (M) Sdn. Bhd. akan ditemani oleh Anushka Gayan dan Lee Robert (Leonian Malaysia) selepas kedua-dua pasangan itu mendapat tempat pertama dan kedua kejohanan WCGC edisi sulung Malaysia di Kelab Golf Kota Permai di sini semalam.
Isyraf Widad dan Muhammad Adib mengumpul 42 mata Stableford menewaskan 19 pasukan lain. Mereka sebelum ini mendapat tempat ketiga di Peringkat Akhir Dunia tahun lalu.
Anushka dan Robert pula meraih naib juara berdasarkan kiraan semula.
Sebelum ini, hanya satu pasangan sahaja dibenarkan dari Malaysia tetapi pihak penganjur, Elora Global Sdn. Bhd. berjaya mendapat slot untuk menambah satu lagi pasangan selepas membuat rayuan.
“Kami agak terkejut dengan kemenangan ini kerana saingan sangat sengit dengan kehadiran banyak pasukan hebat.
“Strategi kami sejak peringkat awal ialah bermain secara kompetitif antara satu sama lain dan cuba memanfaatkan momentum rakan sepasukan,” kata Isyraf Widad.
Muhammad Adib pula memberitahu, dia gembira sekali lagi terpilih mewakili Malaysia di Peringkat Akhir Dunia.
“Nampaknya ia berhasil untuk kami dan kami bersemangat untuk memberi yang terbaik di Shanghai bulan depan,” katanya.
Pasangan itu sebelum ini mara ke peringkat akhir kebangsaan selepas menduduki tempat ketiga pada pusingan kelayakan kedua di Tropicana Golf & Country Resort.
Penaung kejohanan, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah mencemar duli berangkat ke majlis penyampaian hadiah selain turut mendoakan kejayaan kedua-dua pasukan di Shanghai.
“Semangat yang ditunjukkan di lapangan oleh semua peserta sepanjang WCGC Malaysia amat menginspirasikan.
“Beta mendoakan yang terbaik untuk kedua-dua juara dan naib juara ketika mereka membawa nama negara di Peringkat Akhir Dunia,” titah baginda.
Perlawanan akhir di Shanghai akan berlangsung di Kelab Golf Dongzhuang Beach.
Hadir sama, Penasihat WCGC Malaysia, Mohd. Salim Mohamed Sain dan Pengarah Urusan Enotech, David Yap.
Enotech merupakan penaja utama WCGC Malaysia bersama Konsortium Jaringan Selangor, Spectrum Outdoor, Simple Advantage, World Klang Group, Delta Perdana, KUSEL, Avisena Healthcare, Les Copaque Production Sdn Bhd, dan Cuckoo Malaysia.















