BAHASA bukan sekadar medium bicara, tetapi nadi tamadun yang menyalurkan roh bangsa, namun semakin lantang kedengaran suara sumbang melabel bahasa Melayu sebagai ‘low class’ atau murahan, seolah-olah bahasa warisan nenek moyang ini tidak lagi punya nilai di dunia moden.
Generasi hari ini mudah terbuai dengan anggapan bahawa menguasai bahasa Inggeris adalah tanda aras kemajuan, manakala bahasa Melayu hanya wajar ditinggalkan di ruang sekolah rendah mahupun pentas syair.
Kecenderungan ini melahirkan jurang persepsi seperti semakin fasih berbahasa asing, kian besar peluang dipandang mulia, namun jika setia berbahasa ibunda, seakan-akan terikat pada takuk lama.
Sebenarnya, ia bukan soal bahasa, tetapi mentaliti dan sikap mendewa-dewakan bahasa asing, lalu muncul istilah ‘rojak’, singkatan songsang di media sosial dan gaya tutur ‘rempit’.
Maka tercetuslah persepsi songsang seperti Melayu itu sinonim dengan rendah taraf, kualiti dan martabat.
Menurut Guru Bahasa Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI, Muhammad Fawiz Bakri, anggapan bahawa bahasa Melayu bersifat murahan tidak lebih daripada persepsi sebahagian masyarakat.
Katanya, persepsi itu muncul kerana kelompok pengguna bahasa kedua, khususnya bahasa Inggeris, sering dilihat lebih menonjol.
“Anggapan sedemikian wujud kerana ada yang dibesarkan dalam keluarga multilingual, ada pula hasil kahwin campur, bahkan ada dibesarkan di luar negara.
“Mereka lebih selesa berbahasa Inggeris, lantas masyarakat sekeliling menafsir kononnya mereka memandang rendah kepada bahasa Melayu. Sedangkan hakikatnya tidak begitu,” katanya.
Ujarnya, sikap masyarakat memandang ringan bahasa sendiri jauh lebih membimbangkan berbanding penguasaan bahasa asing.
“Sebagai guru bahasa, saya percaya kefasihan berbahasa asing adalah kelebihan. Ancaman terhadap bahasa Melayu bukan datang daripada bahasa Inggeris, tetapi sikap penuturnya sendiri.
“Kod bahasa rempit, bahasa rojak dan singkatan sukar difahami, inilah wabak sebenar yang merosakkan citra bahasa kita,” ujarnya.
Ditanya adakah benar bahasa Melayu gagal menampung perkembangan ilmu moden hingga wujud suara sinis menganggapnya tidak layak ke persada antarabangsa, Fawiz membidas semua itu.
“Tidak benar sama sekali. Bahasa Melayu ini dinamik, mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan arus pemodenan. Kata pinjaman diserap, istilah baharu diwujudkan, membuktikan kedudukannya tidak terpinggir.
“Jangan lupa, bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca rantau ini. Bukti jelas betapa gahnya martabat bahasa kita suatu ketika dahulu,” jelasnya.
Fawiz menyarankan penghayatan bahasa Melayu diperkasa dengan pendekatan segar dan dekat dengan jiwa anak muda.
“Bahasa Melayu perlu ditawarkan dalam bentuk yang menarik. Saya memuji usaha penggiat seni menggunakan peribahasa, bidalan, dan permainan rima dalam lagu-lagu mereka. Cara ini membuat anak muda menyelami estetika bahasa secara kreatif.
“Ibu bapa dan pemimpin wajar menjadi model terbaik dalam menuturkan bahasa ibunda dengan betul. Kunci sebenar ada di rumah dan dalam keluarga,” katanya.














