Kejatuhan nilai rupiah Indonesia sejak kebelakangan ini membuka peluang besar kepada rakyat Malaysia untuk melancong ke negara jiran dengan kos lebih murah. Ketika ini, kadar pertukaran RM1 bersamaan lebih 3,900 rupiah, sekali gus meningkatkan kuasa beli rakyat Malaysia.
Fenomena itu dijangka melonjakkan lagi jumlah kunjungan ‘kaki travel’ ke republik tersebut, sama ada untuk percutian pantai, gunung mahupun membeli-belah.
Malah, mungkin juga nanti telekung, fabrik batik dan kain ela dibeli berkodi-kodi apatah lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri akan diraikan kurang lebih enam bulan akan datang.
Menurut rekod Badan Pusat Statistik (BPS) Indonesia, seramai 188,750 rakyat Malaysia melancong ke republik itu pada Ogos 2024 sahaja. Dari Januari hingga Mei 2025, angka itu terus meningkat sehingga menyumbang 18.26 peratus daripada lebih 5.6 juta pelancong asing.
Purata perbelanjaan pelancong Malaysia mencecah AS$693 (RM3,250) setiap lawatan, jumlah yang besar apabila digabungkan dengan jutaan kunjungan setahun.
Namun, senario itu boleh menjadi ‘mimpi ngeri’ buat industri pelancongan domestik sekiranya rakyat lebih cenderung berbelanja di luar negara.
Pensyarah Kanan Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Siti Suriawati Isa berkata, selain isu negara kehilangan potensi pendapatan domestik, cabaran utama industri pelancongan tempatan ialah memastikan produk sentiasa segar dan berinovasi.
“Keterujaan rakyat Malaysia melancong ke Indonesia didorong oleh tiga faktor utama, iaitu tukaran wang rendah, kepelbagaian produk pelancongan merangkumi alam semula jadi, membeli-belah, gastronomi dan rekreasi serta kemudahan makanan halal di seluruh negara itu.
“Untuk bersaing dengan tarikan di Indonesia, pengusaha tempatan perlu tampil kreatif menawarkan produk pelancongan, selain giat memasarkan serta mempromosikannya.
Pelancong cepat bosan dengan tarikan sama tanpa pembaharuan,” katanya.
Tambah beliau, kerjasama kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) penting dalam memperkukuh promosi pelancongan domestik melalui lebih banyak jelajah atau roadshow.
Dalam pada itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, walaupun rakyat cenderung memilih Indonesia kerana faktor kos, Malaysia masih mempunyai daya tarikan yang kuat kepada pelancong asing, khususnya dari negara jiran itu.
“Dalam tempoh enam bulan pertama, pelancong dari Indonesia ke Malaysia mencecah 1.93 juta orang, meningkat 8.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Mereka mewakili 15 peratus daripada jumlah keseluruhan pelancong asing.
“Isu di sini apakah kelebihan (selling point) yang Malaysia tawarkan berbanding negara lain sehingga kekal menarik perhatian pelancong asing?
“Jadi, usaha sepatutnya diterapkan untuk meningkatkan daya saing dalam pelbagai subsektor pelancongan kesihatan, dan ekopelancongan, mungkin kita perlu melihat tapak-tapak sejarah yang perlu dibangunkan agar pelancongan berasaskan sejarah juga menjadi daya penarik,” ujarnya.















