JIWA Kelantan seakan sudah sebati dalam diri penjaga gol Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC), Damyan Damyanov yang bersedia untuk mengembalikan semula aura bola sepak di negeri itu.
Selepas menghabiskan tempoh hampir 10 tahun di negaranya, Bulgaria, KTRW FC menjadi destinasi pertamanya di luar negara itu, namun Damyanov akui ia tidak sukar buatnya untuk mencipta kenangan dan mengukuhkan namanya sebagai salah seorang tonggak penting The Real Warriors.
Bekas pemain skuad Bawah 21 Tahun (B-21) Bulgaria itu akui dirinya kini tidak hanya mahu bermain cemerlang secara konsisten sebaliknya menggalas tanggungjawab tambahan bagi mengembalikan semula kehebatan bola sepak di negeri itu.
“Saya datang ke sini untuk memberikan 100 peratus atau lebih lagi dan paling penting dapat bantu pasukan tampil aksi terbaik dalam setiap perlawanan. Apabila itu dapat dilakukan, penyokong dapat pulang ke rumah dengan perasaan gembira.
“Saya mahu mereka menikmati perlawanan dan ada rasa tidak sabar untuk menanti aksi seterusnya. Pastinya akan ke stadium dan berasa seronok,” katanya yang kini mula disebut sebagai pemain kesayangan peminat KTRW FC.
Sebelum ini, Damyanov muncul sebagai watak penting yang memacu pasukan layak ke suku akhir Piala FA dan mengakui kelab di Malaysia mempunyai kualiti tersendiri
“Apabila saya datang ke Malaysia, saya bersedia untuk segalanya kerana saya tidak pernah datang ke sini dan saya tidak tahu apa-apa. Saya gembira dan bagi saya semua pasukan serta pemain (lain) sangat bagus.
“Suasana dalam pasukan juga sangat bagus dan mungkin ini membantu saya lalui fasa kehidupan di sini yang cukup berbeza dengan negara saya.