KUALA LUMPUR – Pelakon Datuk Aaron Aziz berpendapat selebriti tidak wajar dipaksa untuk bersuara mengenai isu Gaza dalam akaun media sosial mereka demi memenuhi kehendak netizen.
Pemilik nama lengkap Aaron Mustapha Aziz, 49, menegaskan diam tidak bermakna seseorang itu tidak menyokong perjuangan rakyat Palestin apabila ramai memilih untuk menyalurkan bantuan secara senyap.
“Kita tak boleh paksa orang bersuara hanya sebab diminta. Tak bersuara tak semestinya mereka tak sokong.
“Ada yang saya kenal walaupun diam, tapi mereka menderma secara senyap. Lebih baik begitu daripada sekadar ‘repost’ tetapi tiada tindakan.
“Doa, usaha atau hubungi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sahih untuk hulur bantuan itu lebih penting,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis pelancaran Muaz Exclusive Brand , semalam.
Pada masa sama, pelakon filem KL Gangster itu turut menegur sikap segelintir pihak yang hanya bersuara apabila sesuatu isu tular demi meraih perhatian.
“Banyak lagi isu di Malaysia yang boleh bersuara contohnya kes penderaan, buli atau kesihatan mental. Kenapa tak bersuara?
“Kalau nak bela, bela semua orang. Jangan hanya kerana Gaza dapat naikkan nama, dapat tumpuan dan pujian, baru sibuk nak jadi aktivis. Itu hipokrit,” ujarnya.
Pelakon asal Singapura itu juga tidak bersetuju dengan pihak yang mengambil kesempatan terhadap isu semasa khususnya kes arwah Zara Qairina demi kepentingan peribadi.
“Lagi satu, saya tak suka orang ‘tunggang’ sesuatu isu contohnya kes arwah Zara. Ada yang jual baju-T, buat kenyataan dan tiba-tiba jadi aktivis lakukan siaran langsung.
“Pada saya itu hipokrit, benda dah tular baru sibuk. Dapat naikkan nama, dapat tumpuan, pengikut baharu dan pujian daripada orang,” luahnya.
Sebelum ini, ramai mula ‘memetik’ beberapa nama selebriti popular termasuk Neelofa, Fasha Sandha, Hun Haqeem dan Daiyan Trisha untuk melontarkan sokongan terhadap Palestin terutama misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini berlayar ke Gaza bagi menyampaikan bantuan.
Dalam perkembangan lain, Aaron kini dilantik sebagai duta jenama Muaz Exclusive bersama pelakon Siti Saleha. – KOSMO! ONLINE