fbpx
Gambar hiasan.

Harga beras putih wajar diseragamkan RM30

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKIT GANTANG – Kerajaan tidak sepatutnya menaikkan harga beras putih tempatan kepada RM36 kerana langkah itu hanya akan menimbulkan kekeliruan dan memberi kesan negatif kepada pengguna serta pesawah.

Ketua Task Force Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Al Fasal berkata, harga beras putih tempatan sepatutnya diseragamkan pada paras RM30 untuk 10 kilogram bersama beras putih import memandangkan kualiti kedua-dua jenis beras itu hampir sama.

“Kalau harga beras putih tempatan dinaikkan ke RM36 sedangkan beras putih import harga pasarannya lebih rendah maka ia menimbulkan ketidakseimbangan.

“Lama-kelamaan beras tempatan tidak laku kerana lebih mahal, sekali gus merugikan pesawah,” katanya ketika ditemui selepas program pelepasan Pertandingan bot berhias Sempena Sambutan Hari Malaysia di sini hari ini.

Menurut beliau, kos membawa masuk beras import ketika ini hanya sekitar RM15, justeru langkah menaikkan harga beras tempatan jauh lebih tinggi berbanding beras import akan memberi kesan songsang terhadap pasaran.

Syed Abu Hussin turut membidas kenyataan sesetengah pihak yang mendakwa beras putih tempatan tidak mendapat sambutan kerana kurang permintaan.

“Bukan tiada permintaan tetapi kualitinya terlalu rendah dengan banyak beras hancur. Itu masalah sebenar. Kalau kerajaan jujur, rakyat dan pesawah sama-sama dapat manfaat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN