ESOK bakal berlangsungnya majlis ijab kabul pelakon Fattah Amin dan penyanyi Amira Othman yang selama ini dinanti-nantikan pengikut setia mereka dan netizen.
Ini bermakna secara rasminya status rakan sekerja bertukar kepada rakan serumah seperti mana diumumkan duda hot itu pada Isnin lalu.
Justeru, Fattah dan Amira menjadi bukti bahawa tidak semua gosip itu sensasi ciptaan media.
Pasangan ini juga membuktikan bahawa segala gimik dan publisiti kerjasama yang menunggang kisah percintaan benar-benar mendorong seseorang itu untuk benar-benar bercinta.
Pasti ramai masih ingat, selepas Fattah sah bercerai dengan aktres Nur Fazura tahun lalu popularitinya meroket sehingga menjadi rebutan banyak pihak dan jenama yang menggunakan khidmatnya sebagai duta dan wajah produk.
Amira tidak ketinggalan menggunakan peluang itu dengan ‘menyambar’ Fattah menjadi model dalam video muzik lagunya, Bila Nak Kahwin. Malah, Amira tanpa berselindung mengakui mencipa gimik sensasi kononnya menjalin hubungan dengan aktor itu sebagai strategi mempromosikan karya dendangannya itu.
Gimik itu menjadi apabila netizen cenderung ‘merestui’ dan berharap mereka benar-benar bercinta. Kerjasama Amira dan Fattah tidak berakhir di situ apabila kemenjadian gimik itu turut mendorong pelbagai jenama popular tanah air menggunakan mereka sebagai pelaris produk masing-masing.
Kemesraan kedua-dua figura seni itu sudah dihidu pihak media bahkan desas-desus mereka bercinta sejak Disember tahun lalu hangat diperkatakan netizen dalam media sosial. Ketika itu, Fattah dan Amira selesa meletakkan hubungan mereka sebagai rakan sekerja walhal hakikatnya sudah ada putik-putik cinta di hati.
Mata tidak berbohong, bagi yang melihat riak wajah dan lenggok bahasa tubuh Fattah serta Amira tahu ada sesuatu antara mereka. Malah, selepas mengumumkan tarikh majlis perkahwinan, adik Amira, Irfan Haris tampil membuat pengakuan kakaknya dan Fattah sudah merancang perkahwinan sejak Februari lalu.
Selesai sudah bab Fattah dan Amira, kini ramai ternanti-nanti apa pengakhiran Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq. Pasangan ‘pelaris’ produk itu masih lagi rancak menjual gimik cinta untuk engagement masing-masing dalam media sosial meski hubungan mereka nampaknya sudah masuk ke fasa serius dan direstui keluarga.
Sebelum ini, media sering dipersalahkan netizen, kononnya sengaja mencipta sensasi. Hakikatnya, bukan semua sekadar gosip sebaliknya itulah yang sebenarnya berlaku. Berhentikan tuding jari kepada media, kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang.
Malah, dari dahulu lagi sensasi kisah cinta menjadi alat publisiti artis. Mereka tahu cinta itukan ‘human interest’. Siapa yang tidak tertarik dengar atau baca kisah cinta lebih-lebih lagi membabitkan figura terkenal dan artis kesayangan?
Kalau kena pada orang yang tepat dan popular memang menjadi seperti mana yang berlaku kepada Fattah dan Amira. -KOSMO! ONLINE














