fbpx
SUAMI isteri diingatkan agar tidak mengaibkan pasangan di media sosial. - GAMBAR HIASAN

‘Takkan pasangan minta ambil air kosong pun luah di media sosial’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ASALNYA, media sosial adalah medium berkongsi cerita, gambar dan kenangan manis bersama orang tersayang. Namun semakin lama, ia berubah menjadi ruang untuk meluahkan perasaan, termasuk hal-hal dalam kain rumah tangga.

Buka sahaja sebarang aplikasi media sosial mesti kita disajikan dengan kisah rungutan pasangan berumah tangga. Fenomena pasangan suami isteri yang gemar menulis secara terbuka tentang ketidakpuasan hati terhadap pasangan, mentua atau ipar duai semakin kerap kita lihat.

Mungkin, bagi sesetengah orang mereka beranggapan, menulis di media sosial dianggap cara mudah untuk melepaskan emosi. ‘Terapi’ pantas meredakan hati yang sedang marah atau kecewa.

Lain diharap lain pula yang dapat. Tanpa disedari, tindakan ini membuka aib rumah tangga sendiri kepada tatapan umum.

Lebih membimbangkan, keluhan di media sosial jarang difahami dengan betul. Pembaca luar lalu cepat membuat kesimpulan.

Akhirnya, pasangan dipandang serong, bertambah masalah lain. Hati yang meluah ‘membengkak’ sudah surut sejuk. Perasaan pasangan pula membara.

Andai keluh-kesah melibatkan ibu bapa mentua atau adik-beradik pasangan, keadaan menjadi lebih sensitif. Hubungan kekeluargaan boleh renggang kerana perasaan kecil hati dan rasa tidak dihormati.

Apa yang sepatutnya boleh diselesaikan secara tertutup menjadi buah mulut netizen. Tular di alam maya. Penulis yang kerjanya memang perlu memantau ‘dunia’ maya ini pun terikut geleng kepala andai cerita sebegini melintas di ‘timeline’.

Takkanlah pasangan minta diambilkan air masak pun mahu tulis di media sosial.

Tidak terfikirkah akan maruah pasangan kita. Dimalukan di ‘hadapan’ rakan-rakan, saudara-mara, bahkan rakan sekerja.

Persepsi masyarakat menjadikan ia isu yang memalukan. Belum kira lagi campur tangan orang luar yang memberi komen, menokok tambah cerita atau menyebarkan isu tersebut sehingga menjadikan konflik semakin kusut.

Sebenarnya, banyak cara lebih baik untuk meluahkan perasaan berbanding melepaskan amarah di media sosial.

Pasangan boleh berbincang dari hati ke hati, mendapatkan khidmat kaunseling rumah tangga, atau sekurang-kurangnya berkongsi dengan orang yang dipercayai secara tertutup.

Setiap keluarga tidak terlepas dengan masalah. Namun, kebijaksanaan dalam mengurus emosi dan menjaga aib sangat penting.

Meluah di media sosial hanya memberi kelegaan sekejap, tetapi kesannya teramat panjang.

Buat apa sibuk mencari simpati orang luar daripada menjaga hati pasangan sendiri? -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN