EBERANG PERAI – Seorang pemandu e-hailing didenda RM23,000 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas lima tuduhan menipu seorang individu berhubung pembayaran deposit bagi pembelian rumah pada 2022.
A. Thirumurthi, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Bapa tiga anak itu didakwa menipu G. Muralidaran, 32, untuk mempercayai bahawa dia adalah ejen bagi penjualan rumah menerusi Projek Perumahan Skim My Home Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bernilai RM198,000.
Perkara itu mendorong mangsa menyerahkan wang RM7,393.60 yang dimasukkan ke dalam akaun tertuduh secara berperingkat di Maybank Bertam, Kepala Batas antara 24 September dan 31 Oktober 2022.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh bertindak sebagai ejen perumahan tidak sah sejak 2022 dan menawarkan perkhidmatan pendaftaran untuk mendapatkan rumah di bawah skim berkenaan selain mengenakan bayaran perkhidmatan RM100 hingga RM1,500 di Pulau Pinang dan Kedah.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan Muhammad Syahmi Mohd Sanusi mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya.
Mahkamah menetapkan denda RM23,000 atau 19 bulan penjara sekiranya gagal membayar denda. Difahamkan, tertuduh membayar denda tersebut. – KOSMO! ONLINE














